Sukan Asia 2026: PM Anwar Ucap Tahniah, Kontinjen Negara Sambar Tiga Lagi Pingat Emas

 

IMG_7107

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Azizulhasni (kiri), skuad skuasy wanita dan lelaki yang menggondol emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 pada 2 Oktober 2026. Foto PMO

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Pencapaian membanggakan susulan kejayaan merangkul tiga lagi pingat emas hari ini sekali gus menyerlahkan kehebatan dan kesungguhan luar biasa atlet Malaysia di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun, menerima ucapan tahniah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ucapan tahniah tersebut dizahirkan Perdana Menteri menerusi hantaran di media sosial seraya berkata, pencapaian cemerlang itu membolehkan kontinjen negara kini, telah mengumpul sembilan pingat emas dalam usaha mengharumkan nama Jalur Gemilang di pentas Asia.

“Tahniah dan syabas kepada para penyumbang emas hari ini,” katanya ketika mengulas kejayaan menggondol tiga pingat emas dalam masa sehari.

Azizulhasni menggondol pingat emas dalam acara keirin lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 pada 2 Oktober 2026. Foto MSN

Tiga pingat emas yang diraih hari ini disumbangkan oleh jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam acara keirin lelaki di Velodrom Izu, Shizouka serta penguasaan penuh kem skuasy negara menerusi acara berpasukan wanita dan lelaki di Arena Nagoya Kinjo Futo.

Pada aksi final itu, skuasy berpasukan wanita dianggotai Aifa Azman, S. Sivasangari, Aira Azman dan Rachel Arnold menewaskan pasukan Hong Kong 2-1, manakala skuad lelaki dibarisi Ng Eain Yow, Sanjay Jeeva, C. Ameeshenraj dan Mohammad Syafiq Kamal menewaskan pasukan Pakistan 2-0.

Trio skuasy wanita negara cemerlang mempertahankan pingat emas di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 pada 2 Oktober 2026. Foto Squash Racquets Association of Malaysia (SRAM)

Dalam pada itu, Anwar turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus mendoakan kejayaan atlet negara, yang bakal beraksi pada pentas final esok.

“Esok, perjuangan memburu emas diteruskan oleh gandingan padel lelaki, Christian Didier Chin dan Aidan Yunus, serta skuad hoki lelaki yang akan beraksi di pentas final. Sama-sama kita doakan kejayaan mereka,” katanya.

Sembilan pingat emas yang diraih setakat ini, menyamai pencapaian pada Sukan Asia Hangzhou 2022 dan kutipan emas boleh meningkat menerusi acara akhir seperti hoki lelaki yang berdepan gergasi Asia, India.




No comments: