Oleh NORMAN RADZUAN
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, apa persamaan mereka?
Ketiga-tiganya adalah insan yang lantang bersuara mengenai isu rasuah.
Tuanku Muhriz sepertimana Raja Nazrin Shah sangat keras menegur tentang rasuah dan sikap masyarakat. Terbaharu, Raja Nazrin sentuh tentang ramai orang kita yang sudah tidak beradab.

Anwar Ibrahim adalah mangsa kerana tindakan kerasnya menentang rasuah. Sejak beberapa tahun lalu, satu persatu daripada mantan menteri, pegawai-pegawai tinggi kerajaan, ahli-ahli politik ramai ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Akhirnya, Anwar menjadi serangan kepada politikus, pegawai-pegawai tinggi kerajaan, golongan korporat dan mereka yang sudah lama bermain dengan rasuah.
Modus operandi jadikan Anwar sebagai boneka DAP. Akhirnya, pemikiran Melayu yang sudah didoktrin benci kepada bangsa Cina dengan mudah dipajak otak mereka.
Bangsa Melayu yang kurang pendidikan memang mudah menjadi mangsa sentimen perkauman.
Akhirnya, apa yang dapat kita lihat apabila Najib yang bersalah kerana salah guna kuasa merompak berbilion wang rakyat?
Tiba-tiba mereka yang hanya pakai motor kapcai menghulurkan derma untuk membantu Najib.
Gelisah
Bayangkan ahli politik, pegawai-pegawai kerajaan dan korporat yang korup ini bekerjasama untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim kerana bimbang akan dipenjarakan dan mereka yang sudah biasa makan rasuah gelisah tidak lagi mampu berbuat demikian.
Terbaharu, isu Datuk Suhaily yang mengenakan tindakan keras kepada pegawainya. Rakaman videonya tular dan isu sekarang, siapa yang menyebarkan video tersebut?
Sudah tentu Datuk Suhaily seperti Datuk Seri Anwar mempunyai ramai musuh kerana keberanian dan ketegasannya melawan rasuah.

Pintu utama kita KLIA mudah sangat bocor kerana ‘kesepakatan’ penguatkuasa pelbagai pihak melakukan rasuah secara sistematik.
Kita perlu ramai insan atau pegawai seperti Datuk Suhaily. Telah kita jangkakan pasti ada pihak akan cuba menjatuhkan Datuk Suhaily kerana popularitinya sebagai pegawai tinggi PDRM yang berani melawan rasuah.
Namun, rakyat Malaysia bangkit pertahankan Datuk Suhaily. Mereka tahu begitu ramai pegawai yang menjaga pintu masuk negara secara haram mendapat perlindungan dari pihak-pihak tertentu.
Bersatu hati
Rasuah ini hanya mampu diatasi hanya jika masyarakat bersatu hati melawannya dengan tidak mudah tertipu dengan hasutan politikus yang inginkan kuasa untuk mengaktifkan budaya ini.
Rasuah bukan sekadar mengambil wang secara haram. Rasuah merosakkan kepercayaan rakyat, mencemarkan institusi negara, menafikan hak mereka yang layak dan akhirnya melemahkan ekonomi serta masa depan Malaysia.

Perjuangan melawan rasuah ini bukan hanya kepada manusia bernama Anwar Ibrahim atau Datuk Suhaily. Perjuangan melawan rasuah perjuangan seluruh rakyat Malaysia.
Belajar sejarah dunia, Thomas Sankara memimpin Burkina Faso dari 1983 hingga 1987. Beliau memperkenalkan mekanisme pemantauan dan audit terhadap perusahaan negara serta People’s Commission for the Prevention of Corruption.
Pada 15 Oktober 1987, Sankara dibunuh dalam satu rampasan kuasa bersama 12 pegawai lain.
James A. Garfield pula menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 1881 dan terkenal dengan usaha menentang political corruption juga mati dibunuh.
Apabila rasuah sudah menjadi sebahagian daripada sistem, usaha membersihkannya boleh berhadapan tentangan daripada pihak yang kepentingannya terjejas.
Sebab itu perjuangan anti rasuah tidak boleh bergantung kepada keberanian seorang pemimpin yang bernama Anwar sahaja.
Ia memerlukan komitmen institusi penguatkuasaan yang bebas, mahkamah yang berintegriti, media yang membantu kempen rasuah, penjawat awam yang amanah, masyarakat sivil yang berani dan rakyat yang menolak rasuah tanpa mengira siapa pelakunya.

Percayalah kata-kata saya, Anwar itu diserang pelbagai pihak kerana ketegasan dan keberaniannya melawan rasuah.
Ketiga-tiga nama saya sebutkan tadi iaitu Tuanku Muhriz, Anwar Ibrahim dan Datuk Suhaily kebetulan mereka yang keras menentang rasuah.
Ketika ini, ketiga-tiganya mempunyai isu yang hampir sama dalam keadaan berbeza untuk menjatuhkan kedudukan yang ada.
Sejarah mengajar kita melawan rasuah bukan perjuangan yang mudah. Ada pemimpin difitnah, digulingkan, diancam dan dibunuh.
Rasuah hanya akan menang jika rakyat memilih untuk berdiam malah mengamalkannya. Semoga Allah membantu manusia yang cuba melakukan kebaikan demi negara, agama dan bangsanya.
No comments:
Post a Comment