
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat delegasi SpaceX di pejabatnya di Putrajaya pada 30 September 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 1 Okt – Sumbangan 50 kit Starlink oleh syarikat aeroangkasa SpaceX kepada Malaysia bagi menyokong kesiapsiagaan bencana negara, yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kunjungan hormat delegasi SpaceX ke Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, merupakan pengiktirafan penting terhadap hala tuju digital negara menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Pertemuan yang turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil itu memberi tumpuan khusus kepada usaha memperluas capaian rangkaian internet satelit kepada penduduk kawasan pedalaman.

Anwar sendiri menegaskan penghargaan terhadap peranan SpaceX dalam menyokong usaha kerajaan meluaskan liputan dan meningkatkan mutu capaian internet, termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak serta penempatan Orang Asli di Semenanjung yang selama ini menghadapi cabaran infrastruktur kabel optik tradisional akibat topografi sukar.
Lebih penting, Anwar turut menyambut baik pengoperasian infrastruktur Point of Presence (PoP) Starlink di Cyberjaya, yang berfungsi melancarkan trafik data tempatan serta meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pengguna, menunjukkan kerjasama ini bukan sekadar simbolik tetapi disokong infrastruktur teknikal sebenar di dalam negara.

Kesudian syarikat teknologi global sebesar SpaceX menjalinkan kerjasama strategik sedemikian turut mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap kestabilan dasar dan ekosistem digital Malaysia yang semakin stabil dan mantap.
Melihat kepada konteks kesiapsiagaan bencana pula, teknologi internet satelit amat penting kerana ia menjadi platform alternatif kepada infrastruktur kabel darat yang mudah rosak semasa banjir, tanah runtuh atau ribut, membolehkan komunikasi kecemasan serta penyelarasan bantuan kekal berfungsi walaupun rangkaian konvensional terputus.

Namun begitu, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah turut mengingatkan, inisiatif mempercepatkan digitalisasi perkhidmatan awam perlu seiring dengan pengukuhan tadbir urus, keselamatan data, integriti dan akauntabiliti bagi memastikan kepercayaan awam kekal terpelihara.
Ia juga merupakan satu peringatan penting agar kemajuan teknologi tidak mengabaikan aspek tatkelola data strategik negara terutama membabitkan perlindungan data peribadi serta maklumat sensitif.

Kita harapkan dengan penyerahan kit berkenaan dijangka mampu meningkatkan tahap kesiapsiagaan agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam mengkoordinasi keperluan dan keutamaan di lapangan demi rakyat dan negara.
No comments:
Post a Comment