Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan masyarakat supaya tidak sekadar berbicara mengenai perpaduan, sedangkan tutur kata dan tindakan sendiri akhirnya menjadi pencetus kepada perpecahan.
Baginda bertitah, masyarakat perlu membina sikap mahu mendengar dan memahami, bukannya hanya mahu pandangan sendiri didengari atau terlalu mudah menghukum pihak lain.
“Marilah kita mengamalkan sikap murni untuk tidak menjadi insan yang hanya mahu didengar, tetapi tidak mahu mendengar, tidak menjadi insan yang mudah menghukum, tetapi enggan memahami, dan tidak menjadi masyarakat yang berbicara tentang perpaduan, sedangkan kata-kata sendiri menyalakan perpecahan.”
Titah itu disampaikan baginda ketika Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-75 di Putrajaya.
Dalam titah sama, Sultan Nazrin menekankan bahawa perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi punca permusuhan. Sebaliknya, masyarakat perlu mengurus perbezaan dengan ilmu, kesabaran dan rasa hormat.
Baginda turut mengingatkan bahawa sebuah masyarakat tidak menjadi kuat hanya kerana semua anggotanya mempunyai pandangan yang sama, tetapi kerana mempunyai kebijaksanaan untuk menguruskan perbezaan.
No comments:
Post a Comment