DULU RAMAI PERSOAL.

 







Ketika Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ditukarkan daripada jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman ke Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) pada pertengahan 2025, keputusan itu mengundang persoalan sebahagian masyarakat.


Shuhaily ketika itu dikenali sebagai antara pegawai kanan polis yang lantang dan tegas dalam isu jenayah.


Maka apabila beliau meninggalkan JSJ, ada yang melihat pertukaran tersebut seolah-olah beliau diketepikan.


Malah seperti tangkap layar hantaran lama yang kembali dikongsi, ada netizen ketika itu mempersoalkan mengapa pegawai yang dianggap tegas terhadap jenayah dihantar ke sebuah agensi baharu.


Tetapi penjelasan rasmi kerajaan ketika itu sebenarnya berbeza.


Shuhaily bukan sekadar “ditukarkan”.


Beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS selama dua tahun mulai 1 Julai 2025, dengan kerajaan menyatakan pengalaman 26 tahunnya dalam PDRM diperlukan untuk memperkukuhkan kawalan sempadan dan budaya integriti.


Lebih setahun kemudian, gambaran mengenai tugas yang diberikan kepadanya semakin jelas.


AKPS yang dipimpinnya kini berada di barisan hadapan mengawal pintu masuk negara, termasuk KLIA, pelabuhan dan sempadan darat.


Sepanjang 2026 sahaja, AKPS merekodkan rampasan bernilai lebih RM265 juta — lebih tiga kali ganda berbanding kira-kira RM80 juta pada tahun sebelumnya. Rampasan itu antaranya melibatkan dadah dan sisa elektrik serta elektronik.


Shuhaily juga membawa pendekatan penguatkuasaan yang keras ke pintu masuk negara.


Kontroversi terbaharu di KLIA memperlihatkan sendiri bagaimana beliau turun dalam operasi terhadap kegiatan “ulat” warga asing.


Beliau kini berdepan laporan polis berkaitan insiden tersebut dan perkara itu sewajarnya disiasat secara bebas. Shuhaily sendiri menyatakan kesediaannya menerima apa juga keputusan kerajaan.


Tetapi dalam masa sama, beliau menegaskan satu perkara mengenai misi yang sedang dibawanya:


“Saya tidak mahu KLIA jadi macam Selayang.”


Kalau dilihat kembali, perpindahan dari JSJ ke AKPS sebenarnya bukan bermaksud kerajaan menghantarnya ke jawatan tanpa fungsi.


Ketua Polis Negara sendiri ketika serah tugas pada 2025 menyifatkan langkah itu sebagai strategi membawa budaya kerja dan kepakaran PDRM ke agensi penguatkuasaan lain bagi meningkatkan keberhasilan negara.


Shuhaily juga pernah berkata ketika hari pertama mengetuai AKPS bahawa mandatnya ialah memastikan agensi baharu itu benar-benar kelihatan dan memberi impak kepada masyarakat.


Dulu ada yang bertanya:


Kenapa pegawai yang tegas memburu penjenayah dipindahkan dari JSJ?


Selepas lebih setahun, sekurang-kurangnya tujuan rasmi penempatan itu semakin jelas.


Daripada memburu penjenayah melalui JSJ, Shuhaily diberikan tugas membina dan mengetuai benteng baharu di pintu masuk negara.


Dan angka rampasan RM265 juta tahun ini memberikan satu ukuran konkrit tentang kerja yang sedang dilakukan AKPS.


Kadang-kadang pertukaran jawatan bukan bermaksud seseorang itu diketepikan.


Kadang-kadang kerajaan memang mahu pengalaman orang itu digunakan di medan yang lain.


#unofficialinfo






No comments: