"HAFSA"

 







Afiq Nordin


Lepas buat hantaran tentang penghantaran pulang warga Myanmar dari Malaysia semalam, ramai mula tag saya pada satu hantaran.


Bukan tentang 1,476 orang yang dihantar pulang, tapi berkaitan dengan seorang remaja perempuan bernama “Hafsa”.


#Pertama


Semalam Malaysia dah hantar pulang 1,476 warga Myanmar melalui tiga kapal Tentera Laut Myanmar.


Kumpulan itu terdiri daripada 1,370 lelaki, 79 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.


KDN ada kata yang perlarian ini setuju untuk pulang secara sukarela. 


#Kedua


Tapi dalam hantaran yang dibuat oleh Dennis Chan, dia mendakwa “Hafsa” berusia 15 tahun, tinggal bersama keluarganya di Malaysia sejak 2020 dan ditahan pada malam 29 Mei 2025 ketika pulang membeli barang.


Tarikh itu bertepatan dengan Ops Kachi di Selayang Utara yang bermula sekitar 10.45 malam.


Dalam operasi itu, 1,435 individu diperiksa, termasuk 1,222 warga Myanmar dan 160 kanak-kanak. 


Sebahagian besar yang ditahan telah dibebaskan, manakala yang ada isu dokumentasi diserahkan untuk semakan lanjut. 


Setakat semakan saya, belum ada pengesahan bahawa gadis dalam gambar itu ditahan dalam operasi itu atau berada dalam tahanan selama setahun empat bulan.


“Hafsa” juga dikatakan bukan nama sebenar.


#Ketiga


Perkongsian itu turut mendakwa remaja berkenaan pernah dipukul ketika dalam tahanan.


Seorang pegawai wanita pula dikatakan ada benarkan dia guna telefon untuk hubungi keluarga, termasuk bertanya tentang ibu dan adiknya yang berusia lima tahun.


Dakwaan ini serius, tapi setakat ini saya belum jumpa laporan polis, rekod perubatan, kenyataan SUHAKAM, UNHCR atau pengesahan rasmi lain yang membuktikannya.


Jadi ia perlu kekal disebut sebagai dakwaan.


#Keempat


Jadi apa persoalannya dalam isu ini?


KDN ada kata proses ini dibuat secara sukarela dan dengan persetujuan individu.


Tapi menurut Dennis, enam hari sebelum penghantaran pulang, “Hafsa” dikatakan menghubungi keluarganya sambil menangis dan meminta supaya dia tak dihantar pulang.


Kalau kedua-dua kenyataan ini merujuk kepada individu yang sama, kita perlu dapatkan penjelasan.


UNHCR kata mereka tak terlibat dalam program ini dan mengingatkan bahawa Myanmar masih belum selamat untuk kepulangan pelarian.


Sifat “sukarela” bagi setiap individu juga belum dapat disahkan secara bebas. 


#Kelima


Dennis turut menyenaraikan kemungkinan “Hafsa” berdepan kerja paksa, eksploitasi seksual atau pengambilan ke dalam tentera bila tiba di Myanmar.


Risiko pencabulan hak asasi dan pengambilan kanak-kanak pernah didokumentasikan, tapi kita tak boleh kata yang tiga perkara itu pasti akan berlaku kepada dia.


Dakwaan yang undang-undang kerahan tentera Myanmar dikemas kini untuk memasukkan kanak-kanak sejak lewat 2025 juga tak tepat seperti yang ditulis.


Umur rasmi kerahan tentera tak merangkumi kanak-kanak berusia 15 tahun, walaupun pengambilan kanak-kanak secara paksa pernah dilaporkan. 


#Keenam


Isu pelarian dan migran tanpa dokumen di Malaysia memang perlukan jalan penyelesaian.


Kerajaan dah pun pilih untuk hantar mereka pulang secara berperingkat sebagai salah satu pendekatan.


Apajua pendekatannya, proses ini perlu aman, bermaruah, sukarela, bermaklumat dan selamat.


Saya yakin mereka juga rindukan tanah air mereka dan sentiasa pasang niat untuk balik kesana.


Cuma biarlah mereka sampai ke sana dalam keadaan yang selamat tanpa sebarang kerisauan dan ancaman.


Apapun, kita tunggu penjelasan KDN dan JIM tentang kisah “Hafsa” ini.


Saya dah dalam kapal terbang untuk pulang ke Malaysia. Harap bila sampai nanti adalah satu kenyataan rasmi tentang isu ini.




No comments: