SPRM sahkan wujud isu kepincangan tatakelola UiTM Holdings

 


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan terdapat isu dan kepincangan tatakelola dalam pengurusan UiTM Holdings Sdn Bhd (UiTM Holdings) yang dikesan menerusi siasatan berhubung kerugian dialami syarikat pegangan pelaburan itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata susulan penemuan itu, pihaknya akan mengemukakan syor penambahbaikan kepada syarikat tersebut bagi membetulkan kelompongan yang wujud.

Beliau berkata penelitian terhadap aspek tatakelola adalah sebahagian daripada kerangka penyiasatan SPRM.

“Walaupun tatakelola itu bukan suatu kesalahan yang boleh dipertuduhkan di mahkamah, syor adalah satu penambahbaikan.

“Maknanya pihak SPRM akan mengesyorkan penambahbaikan yang perlu dilakukan terhadap apa jua proses yang kami dapati ada kepincangan. 

“Dalam isu UiTM Holdings ini, memang terdapat isu tatakelola dan pihak kami akan mengesyorkan beberapa perkara bagi penambahbaikan untuk dilaksanakan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-59 di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Mengulas mengenai status siasatan kes yang bermula sejak 2023 itu, beliau berkata tindakan itu merupakan proses berterusan memandangkan sesuatu kes jenayah tidak mempunyai had tempoh.

“Selagi belum selesai penyiasatan untuk mendapatkan maklumat, eksibit bukti dan dokumen, selagi itulah kes akan terus disiasat.

“Setakat ini, penyiasatan menjurus kepada seorang suspek (yang didakwa hari ini) namun, jika terdapat elemen atau bahan bukti baharu, maka penyiasatan tersebut akan diteruskan (kepada pihak lain),” katanya.

Hari ini, bekas Ketua Pegawai Eksekutif UiTM Holdings Sdn Bhd (UHSB) Azlizan Fadzil, 52,  mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan melakukan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM37.37 juta pada 2017.




No comments: