Dari kerusi CEO ke kerusi roda, Azlizan didakwa pecah amanah RM37.37 juta

 


Daripada pernah menerajui UiTM Holdings Sdn Bhd sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Azlizan Fadzil pagi ini hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda untuk berdepan pertuduhan pecah amanah membabitkan wang lebih RM37 juta.

Azlizan, 53, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, beliau yang ketika itu memegang jawatan CEO UiTM Holdings diamanahkan dengan penguasaan wang berjumlah RM37,374,612.68 yang diperuntukkan bagi pembangunan projek penjanaan elektrik solar fotovolta berskala besar berkapasiti 50 megawatt (MW) di Gambang, Pahang.

Bagaimanapun, Azlizan didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan dana berkenaan melalui pelbagai pembayaran bagi tujuan selain daripada yang telah ditetapkan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad Cawangan UiTM Shah Alam, Menara Sultan Abdul Aziz Shah, antara 2 Februari hingga 2 Oktober 2017.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan berkaitan pecah amanah jenayah oleh penjawat atau ejen.

Jika sabit kesalahan, peruntukan itu membawa hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda.

Kes berkenaan muncul ketika isu tadbir urus dan kerugian UiTM Holdings kembali mendapat perhatian selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan terhadap beberapa perkara berkaitan syarikat berkenaan, termasuk projek solar 50MW di Gambang.

SPRM sebelum ini memaklumkan siasatan turut meneliti pembayaran puluhan juta ringgit yang didakwa dibuat bagi tujuan yang tidak berkaitan dengan projek solar berkenaan.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pula pernah membangkitkan kelemahan serius dalam aspek tadbir urus kewangan dan pengurusan pelaburan UiTM Holdings.

Azlizan bagaimanapun belum disabitkan dengan sebarang kesalahan, dan pertuduhan tersebut akan melalui proses perbicaraan di mahkamah.




No comments: