KISAH VIDEO VIRAL SEORANG KP

 



Saya tak mahu komen tentang video viral seorang KP memarahi seorang individu. Kita tunggu sahaja press statement beliau nanti.






Cuma, video itu mengingatkan saya kepada satu cerita lama ketika bos besar kami “melawat kawasan” iaitu membuat lawatan rasmi ke pejabat kami pada tahun 1990-an dahulu.


Kami menerima surat jemputan rasmi bahawa bos besar akan melawat pejabat dan ingin berjumpa serta berdialog dengan semua jurutera dan pegawai.


Jadi, tepat jam 8.00 pagi, kami sudah berada di bilik mesyuarat. Lebih kurang 10 orang pegawai sudah menunggu.


Jam 8.15 pagi, bos besar pun masuk diiringi Tuan Pengarah kami.


Seperti biasa, kami semua berdiri memberikan hormat.


Kecuali seorang rakan saya.


Saya mencuit bahunya supaya berdiri, tetapi dia enggan.


“Aku tak mahu hormat dia,” katanya selamba.


Bos besar yang baru masuk itu tidak terus menuju ke kerusinya. Sebaliknya, beliau berhenti seketika dan scan seluruh bilik.


Matanya terus tertumpu kepada rakan saya yang masih duduk.


Tiba-tiba beliau menunjuk jari ke arah rakan saya.


“YOU, THE ONE WHO IS SITTING THERE. WHY ARE YOU DISRESPECTFUL TO ME? YOU STAND UP NOW, YOU BLOODY STUPID COW!!!”


(“Kau, yang duduk di situ! Kenapa kau biadab dengan aku? Bangun sekarang, kau lembu bodoh!”)


Barulah rakan saya berdiri sambil tersengih-sengih selepas kena marah.


Selepas itu, sesi dialog antara bos besar dengan kami berjalan seperti biasa. Tiada apa-apa lagi yang berlaku.


Selesai sesi dialog dan jamuan ringan, saya ternampak rakan saya pergi berjumpa dengan bos besar.


Saya nampak dia bercakap sesuatu sambil bersalaman.


Rupa-rupanya dia pergi meminta maaf.


Selepas semuanya selesai, saya bertanya kepadanya:


“Mat, apasal kamu minta maaf tadi kepada bos besar? Bukankah kamu kata kamu tak mahu hormat dia?”


Dia tidak menjawab.


Dia hanya tersengih-sengih seperti biasa.


Sampai hari ini saya masih ingat cerita itu.


Moral of the story:


Kadang-kadang kita begitu yakin dengan prinsip dan keberanian kita ketika bercakap dengan kawan-kawan.


Tetapi apabila berhadapan dengan realiti, kita baru sedar bahawa adab tetap perlu dijaga, ego perlu dikawal dan keberanian juga ada tempatnya.


Tak salah mempertahankan pendirian. Tetapi cara kita menyampaikan pendirian itulah yang menunjukkan siapa diri kita.


Dan satu lagi pengajaran yang saya belajar daripada cerita ini:


Jangan terlalu cepat berlagak berani sebelum kita tahu siapa yang sedang berdiri di hadapan kita. 


Wallahua'llam 


Ir.Hj.Zainuddin.Bin.Hj.Omar 

FB: Zainuddin Omar





No comments: