NI DULU JADI TIM MENTERI ...MAKN GAJI BUTA

 





Kenyataan seorang Ahli Parlimen PAS yang mengaitkan pemberian subsidi dengan sikap malas rakyat mencetuskan persoalan menarik apabila dibandingkan dengan masalah bekalan air bersih yang masih membelenggu penduduk Kelantan.
Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat berpandangan bahawa pemberian subsidi secara berterusan boleh menyebabkan rakyat terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.
Menurut beliau, kerajaan sepatutnya memberikan bantuan yang membolehkan rakyat menjana pendapatan sendiri, bukannya sekadar menghulurkan wang atau subsidi.
“Kalau kita bagi subsidi, kita bagi ikan, ia mengajar rakyat ini malas,” katanya.
Nik Muhammad Zawawi turut mencadangkan supaya kerajaan memberikan peralatan seperti mesin, periuk dan kelengkapan kerja yang boleh digunakan rakyat untuk mencari rezeki dalam jangka panjang.
Cadangan membantu rakyat berdikari itu mempunyai asasnya tersendiri. Namun, kenyataan mengenai subsidi dan sikap malas membuka ruang kepada satu persoalan lain.
Kalau subsidi dikatakan boleh mengajar rakyat menjadi malas, bagaimana pula dengan masalah bekalan air bersih yang masih dihadapi rakyat Kelantan?
Mungkin secara sinisnya boleh ditanya, adakah rakyat Kelantan yang terpaksa mengangkut air, memasang penapis atau menggali telaga sendiri sedang dilatih supaya menjadi lebih rajin?
Sudah tentu bukan begitu tujuan kerajaan negeri. Namun, sindiran tersebut menggambarkan betapa sukarnya kehidupan sesetengah penduduk yang masih berdepan masalah bekalan air.
Sedangkan di negeri yang ditadbir PAS sejak sekian lama itu, isu air keruh dan gangguan bekalan masih menjadi rungutan masyarakat.
Baru-baru ini, seorang wanita di Kelantan meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa air paip berwarna kekuningan menyebabkan pakaian anaknya rosak.
Perkongsian tersebut sekali lagi menghidupkan perbincangan mengenai masalah air yang sudah bertahun-tahun menjadi perhatian rakyat negeri berkenaan.
Malah, pada Februari lalu, kerajaan Kelantan sendiri mengakui tujuh jajahan dikenal pasti sebagai kawasan kritikal yang berdepan gangguan bekalan air.
Kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai projek menaik taraf loji rawatan air dan menggantikan paip lama, dengan sebahagian kerja dijangka berterusan sehingga 2030.
Ini menunjukkan masalah tersebut memang wujud dan memerlukan penyelesaian jangka panjang, bukannya sekadar isu yang dibangkitkan oleh pihak lawan politik.
Apa yang menarik, ketika seorang wakil rakyat PAS mengingatkan kerajaan supaya tidak terlalu memanjakan rakyat dengan subsidi, masih ada penduduk Kelantan yang terpaksa berusaha lebih untuk mendapatkan keperluan asas seperti air bersih.
Nak mandi perlu periksa air dahulu. Nak membasuh pakaian pun kena berhati-hati. Kalau air terlalu keruh, terpaksalah mencari alternatif.
Kalau keadaan begitu dianggap latihan berdikari, nampaknya sebahagian rakyat Kelantan sudah lama lulus dengan cemerlang!
Namun, hakikatnya bekalan air bersih bukanlah kemewahan atau bantuan yang boleh dianggap memanjakan rakyat.
Ia merupakan keperluan asas yang sepatutnya dapat dinikmati setiap keluarga tanpa perlu menanggung kesukaran tambahan.
Begitu juga dengan subsidi. Bantuan kerajaan kepada golongan yang memerlukan tidak semestinya menjadikan penerimanya malas, terutama apabila mereka sedang berdepan tekanan kos sara hidup.
Nik Muhammad Zawawi sendiri mengakui bahawa bantuan kewangan masih diperlukan oleh golongan tertentu seperti orang kurang upaya, pesakit dan ibu tunggal yang mempunyai tanggungan.
Justeru, persoalan sebenar bukanlah sama ada semua subsidi patut diberikan atau dihentikan, tetapi bagaimana bantuan dapat disalurkan secara berkesan sambil meningkatkan kemampuan rakyat untuk berdikari.
Dalam masa sama, kerajaan negeri juga perlu memastikan kemudahan asas seperti air bersih dapat disediakan dengan lebih baik.
Rakyat tentu boleh menerima nasihat supaya rajin bekerja dan berusaha mencari pendapatan.
Tetapi jangan sampai mereka yang masih bergelut mendapatkan air bersih pula terpaksa mendengar ceramah mengenai bahaya terlalu dimanjakan dengan bantuan.
Sebab rakyat Kelantan bukan meminta air percuma setiap hari. Mereka cuma mahu air paip yang bersih, mencukupi dan selamat digunakan.
Kalau subsidi boleh mengajar rakyat jadi malas, janganlah pula air keruh dijadikan alasan untuk mengajar rakyat jadi rajin!
















No comments: