BUDI Diesel: 52,133 Pemilik Pikap, Jip Di Sabah Terima Tambahan 100 Liter – MOF

 

IMG_4994

Kerajaan turut mengambil kira keperluan kumpulan tertentu yang bergantung pada diesel untuk kegunaan harian, termasuk pengusaha bot. Foto KPDN Sabah

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Kementerian Kewangan (MOF) meluluskan permohonan sebanyak 52,133 pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip di Sabah bagi kelayakan tambahan 100 liter diesel menerusi inisiatif BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) setakat 12 Oktober 2026.

Menerusi satu kenyataan malam tadi, penetapan kelayakan tambahan itu mengambil kira keperluan penggunaan diesel yang lebih tinggi, khususnya dalam kalangan penduduk luar bandar, peniaga kecil, petani dan mereka yang menggunakan kenderaan diesel bagi menjana pendapatan.

Manakala sebanyak 19,008 permohonan pemindahan kelayakan BUDI Diesel telah diluluskan dengan 5,555 daripadanya melibatkan pemohon dari Sabah bagi memudahkan urusan harian mereka.

Inisiatif berkenaan dilaksanakan kerajaan bagi pembaharuan penyasaran subsidi diesel melalui BUDI Diesel secara berperingkat bermula 27 Jun 2026, sebelum pelaksanaannya diperluaskan ke seluruh negara pada 1 Julai 2026.

Penjelasan berkenaan dibuat bagi menjawab pertanyaan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) mengenai mekanisme subsidi diesel di Sabah menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Untuk pengguna selain pemilik kenderaan individu, MoF menjelaskan bahawa kerajaan turut mengambil kira keperluan kumpulan tertentu yang bergantung pada diesel untuk kegunaan harian, termasuk pengusaha bot, pengguna set janakuasa bergerak dan pam air di kawasan pedalaman.

Menurut MOF, golongan tersebut boleh dipertimbangkan untuk menerima bantuan BUDI Diesel melalui mekanisme MyKad, tertakluk kepada syarat kelayakan dan pengesahan kerajaan negeri serta agensi berkaitan seperti pejabat daerah, pejabat residen atau agensi negeri yang ditetapkan.

Langkah itu bertujuan memastikan kumpulan yang benar-benar bergantung pada diesel dalam memenuhi keperluan harian tidak tercicir daripada menerima bantuan.

Pemantauan secara turun padang dilakukan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bertujuan mendapatkan maklum balas secara langsung mengenai pelaksanaan kuota BUDI95 dan BUDI Diesel termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan BUDI Diesel berdasarkan data penggunaan, maklum balas pengguna, input kerajaan negeri serta keperluan sektor yang terlibat.

“Sebarang penambahbaikan akan diperhalusi secara data supaya subsidi diesel dapat disalurkan dengan lebih mudah, adil, bersasar dan mampan kepada pengguna yang benar-benar layak, tanpa membuka ruang kepada ketirisan atau penyalahgunaan subsidi,” kata MOF.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:




No comments: