Gambar ini sekadar ilustrasi. Kita belum tahu rumah Najib nanti akan dikawal sampai tahap macam ini atau tidak. Tetapi satu persoalan memang wajar ditanya: siapa yang akan menanggung kos pelaksanaan tahanan rumah itu?
Setakat ini Jabatan Penjara sedang menyediakan SOP yang akan merangkumi soal lawatan, kawalan keselamatan dan pemantauan pergerakan Najib. Kos rasmi pelaksanaannya pula belum diumumkan.
Kalau pelaksanaannya memerlukan pegawai bertugas mengikut syif, kawalan 24 jam, CCTV atau sistem pemantauan, pemeriksaan pelawat, kenderaan serta pengiring apabila perlu keluar atas urusan yang dibenarkan, semua itu tentunya mempunyai kos operasi.
Persoalannya: berapa jumlahnya dan bahagian mana yang akan ditanggung kerajaan?
Lebih menarik apabila angka rasmi Kementerian Kewangan menunjukkan kerajaan sudah membayar RM42.5 bilion bagi hutang dan komitmen 1MDB, sementara RM8.9 bilion lagi masih berbaki.
Selepas mengambil kira RM31.3 bilion yang berjaya dipulihkan, kerajaan menganggarkan baki kerugian yang mungkin perlu ditanggung masih sekitar RM20 bilion.
Cuma kena bezakan dua perkara: tahanan rumah yang baru diputuskan ini adalah berkaitan hukuman Najib dalam kes SRC International, bukannya hukuman kes 1MDB.
Bagi kes 1MDB, Najib telah dijatuhi hukuman 15 tahun penjara dan denda RM11.38 bilion pada Disember 2025, tetapi keputusan itu sedang melalui proses rayuan.
Untuk kes SRC pula, pengampunan bersyarat membolehkan Najib menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk antaranya kepada pembayaran denda RM50 juta.
Jadi ini bukan soal mempertikaikan kuasa pengampunan yang diperuntukkan Perlembagaan. Soalan pentadbiran yang lebih mudah ialah:
Kalau seorang tahanan ditempatkan di kediaman persendirian dan kerajaan perlu menyediakan sistem kawalan khas untuknya, berapakah kos tambahan kepada pembayar cukai?
Kalau kerajaan yang bayar, elok diumumkan jumlahnya secara telus. Kalau Najib sendiri yang menanggung sebahagian atau keseluruhan kos keselamatan khas tersebut, itu juga elok dijelaskan.
RM20 bilion baki beban 1MDB sudah cukup besar untuk kewangan awam. Sebab itu angka untuk menjaga seorang tahanan di rumah selama hampir dua tahun pun rakyat berhak tahu.
No comments:
Post a Comment