
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diwakili Mohamad Hairul Amir menyerahkan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Taman Desa Tambun pada 20 September 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 20 Sep – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga tiga mangsa yang maut dalam kebakaran sebuah rumah teres di Taman Desa Tambun di Ipoh, awal pagi hari ini.
Pegawai Khas Pejabat Ahli Parlimen Tambun, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, Anwar sudah dimaklumkan berkenaan tragedi itu dan meminta Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun memberikan sebarang bantuan yang diperlukan.
Menerusi hantaran di media sosial, Anwar merasa berdukacita menerima perkhabaran mengenai kebakaran di Taman Desa Tambun yang berlaku seraya meminta pegawainya segera membantu.
“Salam takziah saya zahirkan kepada seluruh ahli keluarga mangsa atas kehilangan ini.

“Saya telah meminta saudara Mohamad Hairul Amir Sabri mewakili saya menziarahi keluarga mangsa serta menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban mereka.
“Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun juga telah diarahkan untuk membantu segala urusan dan keperluan keluarga, termasuk penempatan sementara, manakala pihak ICU akan membuat penilaian bagi menyegerakan bantuan baik pulih kediaman.
“Semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan seluruh keluarga dikurniakan kekuatan serta ketabahan menghadapi ujian yang amat berat ini.
“Al-Fatihah,” ujarnya.
Terdahulu, Mohamad Hairul Amir yang juga Pengerusi KEADILAN Perak berkata, pusat khidmat berkenaan akan menyerahkan bantuan segera sebanyak RM5,000 kepada keluarga terbabit.
Selain itu katanya, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) akan menjalankan penilaian esok bagi menentukan bentuk bantuan lanjut yang diperlukan, termasuk kemungkinan kerja membaiki rumah yang rosak akibat kebakaran.
“Pihak ICU akan datang untuk membuat penilaian esok dan kami akan lihat bagaimana boleh membantu dalam kerja-kerja pembaikan atau mungkin bentuk bantuan lain,” katanya.

Menurutnya, tempat tinggal sementara juga boleh disediakan jika diperlukan, memandangkan kerja-kerja membaiki rumah mungkin mengambil sedikit masa.
“Kami akan lihat sama ada mereka memerlukan bantuan dari segi tempat tinggal.
“Selain itu, kami juga akan cuba menyediakan penginapan sementara, mungkin dengan membantu menanggung kos sewa terlebih dahulu,” katanya.
Mohamad Hairul Amir berkata, pusat khidmat itu juga akan berbincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi berkaitan berkenaan kemungkinan mendapatkan khidmat kaunseling serta bentuk sokongan lain.
“Kami akan membincangkannya esok dan melihat bantuan yang sesuai untuk keluarga berkenaan,” katanya.
Berkenaan urusan pengebumian, beliau berkata pusat khidmat akan terus memberikan sokongan kepada keluarga sehingga semua urusan selesai.

No comments:
Post a Comment