Krisis politik Negeri Sembilan masih belum menampakkan jalan penyelesaian yang jelas apabila kepimpinan Umno negeri hanya membayangkan bahawa Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, mempunyai formula tertentu bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri terus berjalan seperti biasa.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan bagi memastikan kerajaan negeri terus berfungsi susulan kemelut yang sedang berlaku.
“Ada pelbagai kaedah boleh kita gunakan. Menteri Besar mempunyai formula tertentu untuk menggerakkan jentera kerajaan negeri supaya agenda bagi memastikan program berkaitan kepentingan rakyat dapat diteruskan,” katanya.
Bagaimanapun, ADUN Pertang itu tidak memperincikan formula yang dimaksudkan atau pendekatan yang bakal diambil bagi menyelesaikan krisis berkenaan sekaligus jalan keluar daripada kemelut itu masih menjadi tanda tanya.
Jalaluddin berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat membabitkan wakil rakyat Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur malam tadi.
Menurut Jalaluddin, keutamaan ketika ini adalah memastikan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Ismail terus berjalan seperti biasa demi menjaga kesejahteraan dan kepentingan rakyat.
“Intipati kepada perbincangan ialah kerajaan negeri Negeri Sembilan hendaklah berjalan seperti biasa untuk kesejahteraan dengan keutamaan demi kepentingan rakyat,” sembangnya.
Jalaluddin yang pada April lalu mengumumkan Umno Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar ketika itu turut berharap perbincangan panjang lebar itu akan menghasilkan satu pendekatan yang membolehkan pentadbiran negeri meneruskan tanggungjawabnya.
Dalam masa sama, pemimpin Umno berkenaan mengesahkan mesyuarat berkenaan dihadiri barisan Exco dan wakil rakyat penyokong kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN), termasuk wakil Pas dan Wawasan.
Antara yang dilapor hadir ialah Ismail; ADUN Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris; ADUN Linggi, Datuk Faizal Ramli dan ADUN Sikamat, Datuk Razali Abu Samah. Mereka tiba secara berasingan di Ibu Pejabat Umno seawal jam 7.30 malam bagi menghadiri perbincangan tersebut.
Terdahulu, Presiden Umno merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan mengadakan mesyuarat bersama 25 ADUN Negeri Sembilan bagi menyelaraskan usaha menyelesaikan kemelut tidak berkesudahan yang melanda negeri itu.
Mesyuarat tersebut difahamkan membincangkan krisis takhta yang membabitkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
No comments:
Post a Comment