Tawaran mengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diterima pelawak Shahrol Shiro, yang aktif dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) mengejutkan banyak pihak.
Mengulas pelantikan Shahrol di Fakulti Pengajian Sains Citra UKM itu, pempengaruh media sosial, Najib Bakar mulanya menyangka perkhabaran tersebut sekadar mimpi.
Menerusi satu hantaran media sosial, Najib meluahkan rasa terkejut selepas melihat perkongsian Shahrol mengenai surat tawaran pelantikannya sebagai tenaga pengajar di universiti awam itu.
“Bangun pagi, tengok Shahrol Shiro jadi pensyarah UKM. Ingatkan mimpi, rupanya betul,” tulis Najib dalam reaksinya terhadap perkongsian tersebut.
Dalam masa sama, Najib turut mencadangkan beberapa nama besar industri seni tanah air yang menurut pandangannya boleh dipertimbangkan untuk mengajar di universiti berkenaan, termasuk Namron, Bront Palarae dan Sabri Yunus.
“Orang yang over exposed dalam media sosial sebagai orang politik ni macam tak berapa kena saja,” ujarnya.
Najib kemudian berseloroh mengenai kemungkinan Shahrol berdepan pelajar yang mempunyai pandangan politik berbeza.
“Risau digagalkan bebudak anti Umno yang ambil subjek koko tu nanti kang,” tulisnya.
Aktif Umno-BN
Shahrol, 42, atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi, sememangnya mempunyai latar belakang politik bersama Umno.
Selebriti berkenaan pernah memegang jawatan Penolong Bendahari Pemuda Umno Bahagian Kluang dan mengakui aktif dalam parti yang bermusuh dengan Pakatan Harapan (PH) itu sejak 2018.
Penyampai radio itu juga pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kluang pada 2022.
Berdasarkan surat bertarikh 10 September 2026 yang dikongsikan Shahrol menerusi Instagram, Fakulti Pengajian Sains Citra UKM menawarkan pelantikannya sebagai tenaga pengajar bagi kursus LMCZ1512 Seni Lakon I di Kampus Bangi.
Surat tersebut tertera nama Dekan fakulti berkenaan, Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh.
Dalam perkongsiannya, Shahrol menyambut baik tawaran berkenaan sambil menekankan kepentingan kemahiran komunikasi, keberanian dan keyakinan diri dalam bidang komedi.
Secara terbuka mengakui bersyukur dengan kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lepas, Shahrol berharap pengalaman serta pendekatan komedi beredukasi dapat membantu proses pembelajaran pelajar yang mengikuti kursus tersebut.
Selain mempersoalkan pemilihan Shahrol, Najib sempat menegur kesalahan ejaan dalam hantaran pelawak itu, khususnya penggunaan perkataan “diatas” dan “dilapangan” yang sepatutnya ditulis secara terpisah.
No comments:
Post a Comment