Fathi Aris Omar
Amaran pertama kepada DS Najib Razak tentang salah urus 1MDB bermula awal. Tetapi tidak dipedulikan. Amaran ini seawal September 2009.
Amaran ini datang daripada TS Mohd Bakke Salleh dalam mesejnya kepada perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.
1MDB ditubuh pada 31 Julai 2009, daripada TIA yang dibentuk pada 2008 menggunakan antaranya RM6 bilion duit royalti minyak Terengganu untuk memajukan negeri itu.
Sebelum pengambilalihan ini, pada Mei, TIA memancing kontroversi apabila penasihatnya, Jho Low, mengambil nota hutang RM5 bilion walau kerajaan negeri tidak bersetuju.
Sebab itu, akhbar The Star menyebut 1MDB mencari masalah sejak hari pertama lagi! Lihat: 1MDB controversy started from day one (The Star, 17 Mei 2018).
Mohd Bakke melepaskan jawatan sebagai pengerusi lembaga pengarah 1MDB pada 11 Oktober 2009. Beliau tahu Najib telefon Jho Low.
Dalam keterangannya di mahkamah, tokoh korporat ini berkata beliau tidak sanggup dikaitkan dengan cara pengurusan 1MDB dan memaklum salah urus itu kepada Najib melalui SMS.
“Namun, saya tidak menerima sebarang maklum balas daripada Najib," kata Mohd Bakke.
"Tidak terlintas di fikiran saya untuk melaporkan kepada mana-mana pihak berkuasa berkaitan salah laku kewangan pengurusan 1MDB kerana saya mengandaikan bahawa saya telah pun berbuat demikian melalui SMS yang dihantar kepada Najib.
“Saya berharap Najib akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan 1MDB jika beliau mendapati sebarang salah laku di pihak mereka.
"Memandangkan kebimbangan saya itu tidak mendapat perhatian DS Najib kerana beliau tidak balas SMS saya, saya rasakan beliau terlibat dan sesuatu yang tidak kena berlaku tanpa pengetahuan saya.
“Ini antara sebab utama saya memutuskan untuk meletak jawatan,” kata Mohd Bakke ketika membaca kenyataan saksinya semasa perbicaraan.
Katanya lagi, isu yang membawa kepada peletakan jawatannya termasuklah:
- pemindahan US$1 bilion tanpa kelulusan lembaga pengarah,
- kegagalan menjalankan penilaian ke atas usaha sama PetroSaudi International Ltd (PSI),
- kegagalan melantik penilai bebas untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan boleh dipercayai mengenai nilai aset syarikat usaha sama, dan
- kegagalan dalam pelantikan tiga orang wakil dalam syarikat usaha sama.
Lihat: 'Ada yang tak kena, Najib biasanya balas SMS saya' (Malaysiakini, 9 Mei 2022)
Mohd Bakke beritahu mahkamah, Najib tidak balas SMS beliau yang memaklumkan mengenai AS$700 juta (daripada AS$1 bilion) dilencongkan kepada syarikat lain bawah kawalan Jho Low.***
Lihat: 'Bakke patut jumpa saya. Perkara itu sangat serius, bukan hanya hantar SMS' (Berita Harian, 22 Januari 2025)
Dalam berita Apa yang disembunyi daripada laporan audit 1MDB? (Malaysiakini, 18 November 2019), pindaan audit yang disorok antaranya:
"... laporan asal Jabatan Audit Negara menyatakan Jho Low hadir di mesyuarat khas lembaga pengarah 1MDB pada 26 September 2009.
"Ia disahkan oleh Bakke Salleh yang menjadi pengerusi lembaga pengarah pada masa itu. Jabatan audit berkata Bakke turut memberikan minit mesyuarat yang menunjukkan kehadiran Low.
"Bahagian itu dalam jadual 7.5 tiada dalam laporan akhir yang dihantar kepada PAC."
Jadi, timbul persoalan:
1. Kenapa Najib tidak bertindak seawal 2009 lagi?
2. Kenapa maklumat mengenai Jho Low dipinda?
Sebenarnya, banyak isu timbul antara 2009 atau 2010 hingga 2015. Waktu itu, saya bertugas sebagai editor Malaysiakini.
Saya tidak ingat semua sekarang tetapi banyak isu dilapor. Patutnya sudah membuka mata pihak kerajaan termasuk Najib.
Seperti saya tulis sebelum ini, ketua pembangkang waktu itu DS Anwar Ibrahim pernah mengkritik Jho Low dan 1MDB seawal Ogos 2010 dan bawa ke Parlimen pada Jun 2011. Sudah cukup amaran.
Yang lebih "tragis" berlaku pada TS Tong Kooi Ong, pemilik akhbar The Edge, yang berjumpa Najib di rumahnya pada malam 6 Mac 2015.
Hasil maklumat dan siasatannya, Tong ingin memberitahu Najib skandal yang sedang berlaku dalam 1MDB dan perangai buruk Jho Low.
Tetapi apa berlaku dalam pertemuan mereka berdua? Kata Tong, "saya tunjukkan anda bukti (penyelewengan) tetapi anda tunjukkan saya pintu (keluar rumah anda). Najib nafi tanggapan ini.
Lihat: You didn’t know Jho Low cheated us? I showed you evidence and you showed me the door (Edge Prop, 24 November 2018)
*** Selain Mohd Bakke, isu dana AS$700 juta masuk ke syarikat Jho Low juga dibangkitkan oleh Tong setelah mendapat bukti kukuh daripada maklumat yang dibocor oleh Xavier Justo.
Jadi, kita hairan kenapa sampai dua kali amaran tentang Jho Low larikan AS$700 juta tidak diendah oleh perdana menteri. Kenapa?
Tanggal 6 Mac sedekad lalu ini penting bukan sahaja amaran Tong kepada Najib tetapi permulaan pembongkaran demi pembongkaran skandal 1MDB oleh akhbar ini hingga digantung permit pada Julai.
Selain Wall Street Journal dan Sarawak Report, laporan The Edge yang jelas dan tersusun banyak membuka mata rakyat Malaysia akan skandal ini.
Suasana negara cukup panas sepanjang 2015. Saya rasa pasukan Najib juga menggelupur. Namanya, Jho Low dan Umno terseret dalam skandal terhodoh ini hingga satu dunia terbeliak.
Tup, tup ... Datang Jun 2016, sewaktu imejnya tercalar teruk dan nama Jho Low sudah busuk, Najib minta Jho Low dan Datuk Amhari Efendi Nazaruddin ke Beijing untuk runding dana ECRL dan dua projek saluran paip gas!
Lihat: ECRL, pipeline projects offered to China to bail out 1MDB (The Edge, 5 September 2019) dan Najib admits relying on Jho Low for help in 2016 China trip (Bernama, 15 Januari 2025)
Selain keterangan Mohd Bakke tadi, saya sudah hurai panjang lebar peranan Anwar, pertemuan Tong-Najib dan juga isu dana China untuk ECRL.
SEMAK pautan tiga coretan ini di bahagian komen.
NOTA: Kebanyakan coretan saya diambil daripada keterangan mahkamah dan/atau maklumat daripada kenyataan mereka yang terlibat. Harap tiada maklumat tersilap atau terkurang. Tolong semak sendiri berita-berita berkaitan.
(coretan asal 27 Disember 2025, sehari selepas hakim jatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion)
IMEJ di bawah tajuk berita 16 Jun 2026 dan juga penghakiman bertulis hakim kes 1MDB. Pautan kepada penghakiman di bahagian komen 👇
Satu lagi tajuk berita daripada kes saman 1MDB terhadap Najib. 1MDB rugi US$5.74 bilion (RM22.98 bilion), kata peguam syarikat.








No comments:
Post a Comment