Rujukan tertinggi kamu apa wahyu atau akal?" Soalan retorik sebegini memang sedap dijadikan pembuka ceramah.
Namun dalam tradisi ilmu Islam yang murni, akal tidak pernah menjadi musuh wahyu. Akal amat diperlukan untuk memahami nas, menilai realiti sivil, dan berijtihad dalam perkara duniawi (perkara yg bersifat zanni dan ijtihadi)
Jangan biarkan label menggantikan hujah. Menyebut “sosial demokrasi” tidak secara automatik membuktikan seseorang menolak Islam, begitu juga istilah “sekular” tidak boleh terus dijadikan hukuman terhadap keimanan seseorang.
Ini bukan hujah ilmiah, tetapi lompatan daripada label kepada kesimpulan. Seorang Muslim tidak menyerahkan akidahnya kepada mana-mana logo parti. Pegangan tetap berpaksikan tauhid, syariah serta neraca halal dan haram.
Dalam fiqh siyasah, Islam menetapkan prinsip asas seperti keadilan, amanah, syura dan menolak kezaliman, tetapi tidak menetapkan satu bentuk sistem politik moden yang wajib digunakan pada setiap zaman.
Bentuk pentadbiran, mekanisme pilihan raya dan institusi politik merupakan ruang ijtihad yang boleh berubah mengikut zaman, tempat dan maslahat, selagi tidak bercanggah dengan prinsip syariah.
Maka menggunakan sesuatu mekanisme politik moden tidak secara automatik bermakna seseorang menolak agama. Yang perlu dinilai ialah prinsip, dasar dan kesannya bukan sekadar labelnya.
Jika mahu mengkritik, bezakan antara ideologi parti, dasar yang dilaksanakan, kerangka Perlembagaan negara dan persoalan akidah. Jangan campurkan semuanya menjadi satu kesimpulan.
Jika dikatakan sesuatu dasar bercanggah dengan Islam, tunjukkan dasar yang dimaksudkan, nas yang qat‘i serta hubungan percanggahannya. Jangan melompat daripada perbezaan pilihan politik kepada persoalan iman dan keislaman seseorang.
Islam tidak bergantung pada mana-mana logo, bendera atau parti untuk berdiri. Kalau wahyu benar-benar dijadikan neraca tertinggi, maka ia juga mesti membimbing cara kita bercakap tentang lawan iaitu berlaku adil dan tidak terdorong oleh kebencian. (Surah al-Ma’idah 5:8)
Nilai parti berdasarkan prinsip Islam. Jangan jadikan pilihan parti seseorang sebagai ukuran tahap keislamannya.
IBNU ALI


No comments:
Post a Comment