KUALA LUMPUR – Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) FELDA
Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), yang sebelum ini disiasat berkaitan
penyelewengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), akan didakwa di
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.
Berdasarkan semakan sistem mahkamah, individu itu akan
dituduh di hadapan Hakim Rosli Ahmad pada 9 pagi.
Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
memaklumkan bahawa SPRM telah mendapat izin untuk mendakwa bekas CEO berkenaan.
Pada 25 Sept lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd
Halim Aman berkata individu itu akan berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen
417 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata seorang lagi individu, yang juga bekas
pengurus besar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akan berdepan satu
pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang dijangka didaftarkan di
mahkamah pada Rabu ini.
Siasatan KLVC adalah sebahagian daripada tujuh kertas
siasatan membabitkan FELDA dan FIC, iaitu enam kertas siasatan baharu serta
satu siasatan lama.
Siasatan berkenaan memberi tumpuan terhadap pembelian dan
pelaburan aset oleh FELDA serta FIC antara 2010 hingga 2020 yang disyaki
mempunyai unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment