Dah diviralkan pempengaruh, baru Menteri nak bertindak?”







Saya nampak banyak komen seperti ini sejak isu kelewatan bekalan Baja 3 di kawasan MADA mendapat perhatian.

Kritikan itu hak masing-masing. Tetapi untuk berlaku adil kepada semua pihak, elok kita lihat fakta dan kronologi sebenar.

Surat Setuju Terima (SST) kepada syarikat pembekal dikeluarkan pada 27 April 2026, dengan tempoh kontrak bermula 5 Mei hingga 1 Oktober 2026. Pembekalan pula bermula pada 11 Jun 2026 dengan komitmen 400 metrik tan sehari.

Namun, melalui laporan yang dibentangkan dalam mesyuarat mingguan bersama Menteri, didapati penghantaran terhenti beberapa kali dan pembekal gagal memenuhi komitmen yang ditetapkan.

Apabila keadaan berlarutan dan timbul pula persoalan mengenai kualiti bekalan, pada 12 Ogos 2026, YB Datuk Seri Mohamad Sabu sendiri turun ke kawasan MADA untuk mendapatkan gambaran sebenar daripada pihak pengurusan dan pesawah.

Pada ketika itu, pendirian Menteri sudah jelas — kegagalan tersebut tidak boleh dibiarkan berterusan dan tindakan menamatkan kontrak perlu dipertimbangkan. Alasan nak beri peluang kepada syarikat Bumiputera tidak lagi boleh diterima. Enough is enough. 

Namun sebuah kontrak Kerajaan tidak boleh ditamatkan hanya dengan satu arahan lisan atau kerana tekanan media sosial. Ia perlu melalui proses undang-undang dan tatacara yang betul supaya kepentingan Kerajaan tidak terdedah kepada implikasi kemudian hari.

Pada 18 Ogos 2026, Menteri memanggil Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Padi serta Pengurus Besar MADA bagi mencari jalan penyelesaian segera.

Menteri dimaklumkan pembekal mempunyai tempoh sehingga 26 Ogos 2026 untuk memenuhi obligasinya. Jika mereka gagal - penamatan kontrak boleh dipertimbangkan.

Seperti dijangka syarikat tersebut telah gagal  memenuhi obligasinya. 

Maka pada 27 Ogos 2026, sehari selepas tempoh tersebut tamat, Menteri terus menulis kepada YAB Perdana Menteri memohon kontrak berkenaan ditamatkan dan NAFAS dilantik melalui rundingan terus untuk menyelesaikan baki pembekalan kepada pesawah.

Permohonan tersebut kemudiannya dipersetujui oleh YAB Perdana Menteri.

Jadi apabila netizen berkata Menteri hanya bertindak selepas isu ini viral, pada saya sangat tidak tepat. 

Tindakan telah berjalan lebih awal — daripada pemantauan melalui mesyuarat pasca kabinet, turun sendiri ke lapangan, mendapatkan nasihat undang-undang, menunggu tarikh akhir obligasi pembekal sehinggalah akhirnya memohon penamatan kontrak.

Tidak semua mesyuarat, arahan dan proses dalaman Kerajaan diumumkan setiap hari di Facebook.

Sekarang keutamaan Menteri bukan untuk menang berhujah di media sosial. Keutamaannya ialah memastikan baki baja bagi kawasan tanaman sekitar 63,100 hektar sampai secepat mungkin dan nasib pesawah sentiasa dibela.

Kritiklah. Tegurlah.

Menteri sendiri terbuka menerima kritikan.

Tetapi biarlah berdasarkan fakta.

Akhirnya ukuran yang paling penting bukan siapa paling cepat membuat hantaran di media sosial — tetapi fakta dan kebenaran yang menjadi panduan dalam menyampaikan maklumat.

Nota: Foto ini diambil sebelum perbincangan Menteri bersama KPB, SUB PIP dan GM MADA di MARDI Kota Raja, Selangor pada 18 Ogos 2026 bermula.




No comments: