DR PUAD YANG HEBAT…



 DR PUAD YANG HEBAT…

5 Julai 2026
Hanya beberapa jam setelah mengumumkan sokongannya kepada calon PH bagi DUN Rengit, Dr Puad Zarkashi sudah pun berucap di pentas gabungan tersebut.
Sekadar mengimbas kembali, Dr Puad pada 25 Jun sebelum ini telah mengumumkan keluar UMNO dengan alasan utama kerana cadangannya untuk meletakkan agaknya menggantikannya bertanding di DUN Rengit ditolak oleh pucuk pimpinan UMNO.
Selepas keluar UMNO, setiap hari beliau mengkritik parti itu dan beberapa pemimpinnya.
Semalam, 4 Julai, bekas Speaker DUN Johor itu secara terbuka mengumumkan sokongannya kepada calon PH bagi DUN Rengit, kawasan yang diwakilinya sebelum ini yang berdasarkan impiannya, beliau mahu anaknya diletak sebagai calon BN bagi menggantikan dirinya di kawasan tersebut.
Pada sebelah malam semalam iaitu hanya beberapa jam setelah mengumumkan sokongan kepada calon PH di DUN Rengit, Dr Puad telah hadir di Program Dialog Terbuka Belia di Felda Ulu Tebrau yang dihadiri Pengerusi PH merangkap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Gambarnya berucap dan bersalaman dengan Anwar di program tersebut kemudian turut tersebar di media sosial.
Begitulah…ahli politik kadangkala begitu hebat dan mampu mengalahkan ular dalam soal kecepatan bersalin kulit.
Selepas ini, menghampiri hari pengundian PRN Johor pada 11 Julai, tidak mustahil jika setiap malam Dr Puad akan muncul di pentas PH untuk menyokong gabungan itu.
Sudah tentu apabila berada di pentas PH, sasaran beliau ialah menghentam UMNO/BN, khususnya Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi.
Selepas ini juga, bolehlah dijangka bahawa Dr Puad akan lebih akrab dengan PH dan akan kelihatan setiap kali Anwar datang berkempen di Johor.
Jika PH menang di Johor, bekas Ahli MT UMNO itu pasti tidak menunggu lama untuk menjadi ahli PKR.
Hampir pasti ada jawatan atau peranan tertentu bakal diberikan kepadanya kerana PH ada matlamat lebih besar selepas PRN Johor iaitu hendak memastikan Anwar kekal lagi bagi penggal kedua sebagai Perdana Menteri pada PRU16 akan datang.
Bersama semua itu , anak beliau yang sebelum ini ditolak UMNO sebagai calon pilihan raya, pasti akan turut sama menyertai PKR.
Menurut kata Dr Puad, anaknya itu merupakan bekas pemimpin pelajar dan sudah pun dilatihnya untuk kerja-kerja sebagai wakil rakyat di kawasan DUN Rengit yang duwakilinya.
Dengan anaknya turut sudah menyertai PKR, harapan Dr Puad yang tertangguh untuk melihat anaknya menjadi calon sudah tentu akan menjadi lebih cerah.
Dr Puad sendiri tentunya tidak melepaskan peluang untuk bisik-bisik kepada Anwar agar anaknya dipilih sebagai calon.
Tetapi, jangan pula Dr Puad cuba ugut Anwar sebagaimana beliau ugut UMNO seperti mana didedahkan Dr Asyraf Wajdi Dusuki semata-mata untuk memastikan anaknya dipilih jadi calon.
Ini kerana, jika UMNO pun tidak termakan dengan ugutannya, pastilah Anwar dan PKR lebih tidak melayan sebarang ugutan.
Cuma, semua impian itu hanya mungkin menjadi kenyataan jika PH berjaya menang dan menubuhkan kerajaan di Johor.
Dengan kemenangan itu, peranan Dr Puad yang keluar UMNO dan menyokong PH akan terlihatlah ada kesannya.
Namun, jika dengan ketiadaan Dr Puad membuatkan UMNO/BN manpu menang dengan lebih cemerlang lagi di Johor, menjadi “kupang tembagalah” menanti masa depannya.
Bahkan anaknya, jika masih kekal dalam UMNO, mungkin terpaksa menunggu lebih lama untuk dapat jadi calon pilihan raya. - ShahbudinHusin 05Julai2026.






No comments: