
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Malam Anak Muda Kempas sempena kempen Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Johor pada 4 Julai 2026. Foto PMO
JOHOR BAHRU, 4 Jul – Kerajaan negeri tidak seharusnya menumpukan projek pembangunan mega semata-mata tetapi terlepas pandang masalah dan keperluan rakyat yang masih belum terbela, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, sebaliknya memastikan pembangunan dapat dinikmati penduduk di kawasan kampung, pedalaman dan bandar miskin.

“Kita dah bincang pembangunan. Pembangunan memang sudah ada, tetapi pembangunan apa yang tidak ada? Pembangunan yang lebih seimbang, pembangunan yang ambil kira kawasan pedalaman, kawasan kampung, kawasan bandar miskin. Itu yang belum ada.
“Projek besar memang kerajaan Persekutuan buat. Lebuh raya, RTS,E-ART, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ), itu kita teruskan. Tetapi pembangunan mesti dirasai rakyat di bawah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di program pertemuan bersama anak muda di Kempas, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, kerajaan sejak mengambil alih pentadbiran turut memberi perhatian kepada kemudahan asas yang sering dipandang remeh tetapi memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat.

“Gerai kecil siapa peduli? Tapi bagi rakyat itu penting. Sebab itu kita baiki ratusan gerai di Kuala Lumpur.
“Saya juga arahkan tandas sekolah diperiksa di seluruh negara. Kita belanja RM1 bilion untuk membaiki tandas sekolah kerana hampir setiap sekolah ada tandas yang rosak,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan juga memperuntukkan dana bagi membaik pulih kuarters polis dan rumah anggota tentera selain meneruskan usaha menyediakan lebih banyak rumah mampu milik.
Mengulas mengenai kos sara hidup, Anwar berkata kerajaan berusaha memastikan rakyat terus menikmati harga bahan api yang rendah walaupun berdepan tekanan ekonomi.

“Harga minyak di Malaysia dalam keadaan krisis pun antara yang terendah di dunia. Bukan senang hendak buat keputusan ini kerana kita juga perlu menjaga ekonomi negara.
Beliau menegaskan segala usaha yang dilaksanakan bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya merupakan dasar yang dilaksanakan sejak Kerajaan MADANI mentadbir negara.

No comments:
Post a Comment