BN PATUT BERANI TINGGALKAN KERAJAAN PERPADUAN SEBAIK SAJA PRN JOHOR BERAKHIR

 

11 Julai 2026
Melihat cara PH dan BN menyerang antara satu sama lain dalam kempen PRN Johor yang pengundiannya berlangsung hari ini, seolah-olah kedua-dua parti itu bukan rakan kongsi dalam kerajaan perpaduan.
Mereka menyerang, menyindir dan mengungkit apa yang berlaku sebelum ini sehingga tertubuhnya kerajaan perpaduan itu.
Jika dulu mereka galak mengatakan kerajaan perpaduan itu tertubuh atas titah Yang Dipertuan Agong, tetapi dalam kempen PRN Johor ini masing-masing mendabik dada konon kerana merekalah kerajaan perpaduan itu tertubuh.
Semua dah lupa kepada titah kerana masing-masing sudah jadi ghairah.
Semua perkembangan ini bukan tabie yang sepatutnya dalam kerajaan perpaduan memandangkan kebersamaan yang telah sedia terbentuk antara PH dan BN dalam kerajaan perpaduan.
Bahkan, jika diperhati, baik PH atau BN, mereka tidak pun menyerang lawan yang lain seperti PN, PAS, Bersatu dan Bersama.
Sebaliknya yang berlaku ialah PH serang BN dan BN serang PH.
Ia pula bukan saja berlaku di peringkat pimpinan ketika berceramah, tetapi sehingga ke bawah melibatkan ahli, penyokong serta ceplos kedua-dua belah pihak.
Semua ini memperlihatkan kedudukan kerajaan perpaduan sebenarnya sudah rosak.
Barangkali nama kerajaan perpaduan sudah boleh ditukar kepada kerajaan perpecahan.
Selepas Johor ini, akan berlangsung pula PRN di Negeri Sembilan dan seterusnya di Melaka.
Bayangkan bagaimana perpecahan, serang-menyerang, sindir-menyindir dan ungkit-mengungkit yang berlaku selepas ini?
Realiti mudahnya ialah PH dan BN tidak sesuai untuk bersama dalam kerajaan, jika pun ditakdirkan dapat bersama, mereka tetap ingin berkelahi semula.
Agaknya DNA bergaduh lebih dominan dalam diri kedua-duanya.
Untuk itu, selepas PRN Johor nanti, jika BN berjaya memperolehi kemenangan yang cemerlang dengan mengekalkan majoriti dua pertiga sebagaimana jangkaan banyak pihak, langkah terpuji yang harus diambil ialah mereka perlu segera keluar daripada kerajaan perpaduan.
Jika menang dengan cukup majoriti cukup makan saja pun, tidak perlu juga untuk BN mengajak PH menyertai kerajaan.
Lagi pun Onn Hafiz Ghazi telah menyatakan keengganannya untuk duduk bersama DAP dalam kerajaan negeri jika beliau kekal lagi sebagai Menteri Besar Johor.
Dalam hal ini, adalah lebih bermaruah untuk BN mendepani PRN Negeri Sembilan dan Melaka selepas ini dalam keadaan mereka bukan lagi sebahagian daripada kerajaan perpaduan.
BN juga kena sedar, kerusi mereka lebih sedikit berbanding PH, maka mereka lebih wajar membawa diri jika tidak lagi menganggap PH sebagai kawan sejati.
Dalam konteks Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri, beliau berkemungkinan susah untuk menyingkirkan BN daripada kerajaan perpaduan kerana dia adalah pemimpin yang mempunyai kesabaran tahap dewa.
Dengan itu, beliau sukar memecat sesiapa, lagi pun Anwar ingin berusaha sehabis baik untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Perdana Menteri sehingga ke titik akhir tempoh lima tahun penggal pilihan raya.
Tetapi, Zahid Hamidi sudah tentu tidak sabar lagi untuk membawa BN kembali mengetuai kerajaan jika berjaya mencapai kemenangan cemerlang di Johor.
Maka, tak bolehlah Zahid Hamidi tak berbuat sesuatu dan tunggu begitu saja. - ShahbudinHusin 11Julai2026.

No comments: