Marzuki Mohamad
Saya mewakili BERSATU dalam rundingan kerusi sejak zaman PH 1.0 hinggalah ke zaman PN.
Pembahagian kerusi antara parti-parti anggota PN ada prosesnya.
Proses bermula di peringkat negeri. Wakil-wakil parti di peringkat negeri akan berbincang dahulu parti mana akan bertanding di kerusi mana.
Biasanya 50% rundingan telah selesai di peringkat negeri.
Baki 50% ada pertindihan antara parti-parti anggota. Pertindihan ini dibawa ke Jawatankuasa Rundingan Kerusi di peringkat pusat untuk diselesaikan.
Ada formula tertentu yang digunakan untuk membahagi kerusi.
Pertama, kerusi incumbent kekal ditandingi parti penyandang kerusi tersebut. Misalnya Pagoh BERSATU. Marang PAS. Kerusi-kerusi ini tidak akan dipertikaikan.
Kedua, pengaruh dan kekuatan parti. PAS lebih banyak bertanding di negeri-negeri majoriti besar Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah kerana pengaruh dan jentera PAS kuat di negeri-negeri ini. Ini kerusi-kerusi Gred A PN.
Di negeri-negeri Pantai Barat pula jumlah kerusi yang ditandingi BERSATU dan PAS hampir seimbang kerana pengaruh dan kekuatan kedua-dua parti hampir sama di negeri-negeri ini. Ada kerusi pengaruh PAS lebih kuat, ada kerusi pengaruh BERSATU lebih kuat. Ini kebanyakannya kerusi-kerusi Gred B PN.
Ketiga, goodwill. Kalau dikira dari segi jentera, secara umumnya PAS lebih kuat daripada BERSATU. Namun, BERSATU diberikan laluan bertanding di kerusi-kerusi di mana jentera PAS lebih kuat untuk menampilkan imej PN sebagai sebuah parti nasional yang moderat.
BERSATU mengimbangi imej Islamis-konservatif PAS dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama.
Ini formula yang digunakan oleh Jawatankuasa Pembahagian Kerusi PN.
Inilah juga formula yang memberikan kemenangan besar kepada PAS dalam PRU 15 dan Pilihan Raya Negeri 2023 seperti yang diakui oleh Presiden PAS sendiri.
Biasanya 95% kerusi dapat diselesaikan oleh Jawatankuasa Rundingan Kerusi PN.
Baki 5% yang masih bertindih dibawa ke Majlis Presiden untuk diselesaikan.
Setelah Majlis Presiden membuat keputusan, senarai pembahagian kerusi disediakan dan ditandatangani oleh semua Presiden parti anggota.
Tan Sri Muhyiddin sebagai Pengerusi PN menandatangani watikah calon berdasarkan senarai pembahagian kerusi yang telah dipersetujukan oleh Majlis Presiden.
Walaupun kuasa memberikan watikah ada di tangan beliau, beliau tidak pernah memberikan watikah kepada calon BERSATU sekiranya kerusi tersebut telah dipersetujui oleh Majlis Presiden untuk ditandingi oleh PAS.
Tidak pernah berlaku.
Siapa calonnya ditentukan oleh PAS.
Fair and square.
Jadi di mana rakusnya?


No comments:
Post a Comment