
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil, berkata arahan itu dibuat Perdana Menteri susulan permohonan daripada beberapa sektor yang memerlukan tambahan tenaga kerja asing, sebagai contoh sektor restoran dan pembinaan.
PUTRAJAYA, 12 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan beberapa kementerian supaya mengemukakan maklumat lengkap serta terperinci berhubung keperluan tenaga kerja termasuk pekerja asing.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil, berkata arahan itu dibuat Perdana Menteri susulan permohonan daripada beberapa sektor yang memerlukan tambahan tenaga kerja asing, sebagai contoh sektor restoran dan pembinaan.
Tambah beliau, perkara itu antara dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini memandangkan kerajaan ketika ini mempunyai dasar tertentu berkaitan jumlah pekerja asing yang dibenarkan berada dalam negara.

“… jadi Perdana Menteri mengarahkan kementerian berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) serta Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk mendapatkan maklumat daripada industri dan sektor di bawah seliaan masing-masing.
“Perkara itu akan diteliti secara lanjut dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurut Fahmi, maklumat dikumpulkan daripada kementerian terbabit perlu merangkumi keperluan sebenar tenaga kerja secara menyeluruh dan lebih terperinci, termasuk membabitkan pekerja asing.

“Data berkenaan akan dibentangkan semula kepada Jemaah Menteri bagi membolehkan kerajaan membuat penelitian lanjut sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.
September tahun lalu, media melaporkan kebergantungan berlebihan kepada pekerja asing dengan alasan majoritinya sanggup dibayar murah, sedia bekerja lebih masa dan tanpa cuti boleh menjerumus negara kepada risiko daya saing ekonomi yang lemah.
Dominasi pekerja asing dalam sektor separa mahir dan berkemahiran rendah negara ini juga menyebabkan gangguan kepada pasaran buruh semasa, sekali gus mengehadkan peluang pekerjaan anak tempatan.
No comments:
Post a Comment