PM umum sewa premis perniagaan milik kerajaan akan diturunkan bulan ini


 


Kerajaan akan mengumumkan dalam masa terdekat pengurangan kadar sewa kedai bagi membantu golongan peniaga yang terkesan.

Perdana Menteri berkata, inisiatif terbaharu kerajaan itu akan mencontohi tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sudah pun menurunkan kadar sewaan di bawah agensi itu.

“Terkait dengan keluhan kakak peniaga di Rawang itu, saya berikhtiar mencari kaedah untuk mengurangkan beban mereka mengikut keupayaan kita.

“Saya fikir langkah pertama adalah mengurangkan kadar sewa. Kebanyakan kedai-kedai ini dimiliki oleh syarikat kerajaan atau agensi kerajaan. Mulai bulan ini akan dikurangkan kadar sewa di semua premis perniagaan mereka.

“Ia akan diumumkan mengikut daerah dalam masa yang terdekat dan meneladani langkah DBKL yang sudah menurunkan kadar sewaan,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Pada masa sama, Anwar menyeru semua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri-negeri untuk turut menurunkan kadar sewaan mulai bulan ini bagi mengurangkan tekanan dan beban yang ditanggung peniaga dan penjaja

“Saya ucapkan terima kasih kerana Menteri Besar Selangor yang menyambut secara positif dan kemudian dalam masa terdekat menurunkan kadar sewa semua premis perniagaan terutama bagi peniaga kecil, penjaja dan kedai-kedai makanan,” ujar beliau.





No comments: