
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi pada 18 Oktober 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 18 Okt – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi hari ini menjemput beliau menghadiri Persidangan Pembangunan Semula Gaza di Mesir.
Perdana Menteri berkata, langkah itu sebagai sebahagian daripada usaha bersama memperkukuh sokongan antarabangsa terhadap pemulihan Gaza.
“Kami sependapat mengenai keperluan untuk terus mempertahankan keamanan, memperkukuh agenda kemanusiaan dan menyelaras pelaksanaan misi bantuan bagi rakyat Palestin yang masih berdepan penderitaan berpanjangan.
“Presiden El-Sisi juga menyatakan harapan supaya kunjungan Presiden Donald Trump ke Malaysia minggu hadapan membawa hasil yang positif, memandangkan peranannya amat penting dalam menjamin keamanan yang berkekalan di Gaza,” katanya dalam Facebook hari ini.
Anwar memaklumkan mengenai perkembangan itu selepas berhubung dengan El-Sisi menerusi perbualan telefon untuk menerima perkembangan terkini mengenai Pelan Damai Gaza.
Dalam pada itu, mengenai Pelan Damai di Gaza, Anwar berkata, El-Sisi memaklumkan tumpuan kini diberikan kepada usaha mengenal pasti serta membawa keluar mayat tebusan rakyat Israel dari Gaza supaya rejim Zionis tidak mempunyai sebarang alasan untuk melengah atau menggagalkan proses damai yang sedang diusahakan.

“Beliau turut memaklumkan mengenai pelaksanaan fasa kedua pelan berkenaan, iaitu pembinaan semula Gaza, keperluan melindungi Tebing Barat, serta pelaksanaan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF),” katanya.
– Oleh Noor Atiqah Sulaiman
No comments:
Post a Comment