Projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) bernilai RM64 juta yang dijanji akan disiapkan pada penghujung 2025, telah bertukar tarikh kepada 2027.
Jika dikira-kira, dalam tempoh tiga tahun sahaja kerajaan Kelantan sudah memberikan tiga tarikh berbeza mengenai jangkaan projek berkenaan siap.
Terbaru kerajaan Kelantan dilaporkan sudah menerima peruntukan terkumpul berjumlah RM37.4 juta, namun kerja-kerja pembinaan KB Sentral didakwa masih belum berjalan.
Menurut Ketua Pembangkang DUN Kelantan, Mohd. Syahbuddin Hashim, sebanyak RM20 juta telah disalurkan pada 2023.
Ia disusuli RM10.4 juta pada tahun 2024 dan seterusnya RM7 juta pada belanjawan kali ini.
Beliau mempersoalkan mengapa kerja-kerja pembinaan KB Sentral masih belum berjalan walaupun peruntukan sudah disalurkan sebahagiannya.
“Isu ini penting kerana KB Sentral sudah menjadi bahan polemik apabila sehingga kini rakyat terpaksa bergantung kepada stesen bas sementara.
“Jadi kenapa belum siap?,” katanya kepada media baru-baru ini.