PERJANJIAN GENCATAN SENJATA HIZBULLAH- ISRAEL HAMPIR DIMETERAI

 




BEIRUT: Perjanjian gencatan senjata antara Hizbullah dan Israel hampir selesai dan mungkin diumumkan dalam tempoh 36 jam jika rundingan berjalan lancar, lapor Agensi Anadolu.


“Suasana kini positif, dan perbincangan gencatan senjata telah mencapai tahap seterusnya. Hanya tinggal beberapa jam sebelum perjanjian dimuktamadkan dan diumumkan sekiranya kemajuan berterusan seperti yang diharapkan,” kata ahli parlimen Lubnan Qassem Hashem pada Isnin.

Perkembangan ini berlaku serentak dengan laporan bahawa Kabinet keselamatan Israel akan bersidang pada Selasa untuk meluluskan perjanjian gencatan senjata dengan Hizbullah.

Penyiar persendirian Lubnan, Al Jadeed melaporkan lewat Isnin bahawa Lubnan telah dimaklumkan secara rasmi mengenai perjanjian itu tetapi memilih untuk berdiam diri demi memastikan kejayaannya.

“Perincian kecil” masih dalam perbincangan, namun ia dijangka tidak menjejaskan syarat utama perjanjian.

Hashem, ahli Parlimen blok Pembangunan dan Pembebasan yang diketuai oleh Speaker Parlimen Nabih Berri, menegaskan bahawa Lubnan hanya akan mengumumkan gencatan senjata selepas pengumuman rasmi dibuat oleh Amerika Syarikat.

“Jika dilakukan dengan ikhlas, proses ini akan berjalan secara semula jadi. Dalam tempoh 36 jam, kami menjangka perjanjian dimuktamadkan,” katanya.

Walaupun menyuarakan keyakinan dengan berhati-hati, Hashem mengakui cabaran yang ditimbulkan oleh Israel, yang digambarkannya sebagai “musuh yang tidak terkawal dan melulu.”

Namun, beliau menekankan bahawa sentimen antarabangsa semasa menyokong perjanjian ini, sekali gus mewujudkan keadaan yang kondusif untuk gencatan senjata.

Hashem turut mengesahkan komitmen Lubnan untuk mematuhi syarat yang dinyatakan berkaitan cadangan yang disokong AS dan untuk melaksanakan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB, yang menjadi panduan rundingan itu.

Resolusi 1701, yang diterima pakai pada 2006, menyeru penghentian permusuhan di selatan Lubnan susulan konflik 33 hari antara Hezbullah dan tentera Israel. — AlHijrah Online