Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sama sekali tidak bimbang dengan pendedahan dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai “hasutan” supaya tinggalkan Kerajaan Perpaduan.
Anwar berkata, ia adalah perkara biasa dalam politik.
Kata beliau, apa yang melucukan adalah pembangkang menyerang beliau dan Zahid bukan kerana kes yang dihadapi, sebaliknya kerana Zahid tidak mahu bersokongkol dengan mereka.
“Itu biasa politik, saya tidak risau. Tetapi menariknya Ahmad Zahid diserang hari-hari dan saya diserang kerana kekalkan dia. Orang menyerang dia bukan sebab kes dia. (Pembangkang) menyerang dia kerana dia (Ahmad Zahid) tidak mahu bersekongkol dengan mereka.
“Kalau dia memilih untuk menyertai pembangkang, maka semua kesalahan akan dipadamkan. Apabila saya melihat itu, saya nyata bahawa orang ini (pembangkang) bukannya peduli mengenai kes yang disebutkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Diaspora Malaysia di Republik Korea pada semalam.