BENDA BOLEH BINCANG , BUAT APA NAK GADOH-GADOH

 


GPS BERI AMARAN KEPADA PKR SARAWAK

9 October 2024

Seorang pemimpin kanan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah memberi amaran kepada PKR Sarawak agar tidak menganggu keharmonian atas nama demokrasi selepas mengumumkan rancangan untuk bertanding pada PRN akan datang.

Abdul Karim Rahman Hamzah berkata beliau tidak akan membantah PKR bertanding dalam pilihan raya dan mengadakan jelajah di seluruh Sarawak bulan depan menjelang PRN.

Bagaimanapun, naib presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu itu berkata PKR Sarawak perlu memikirkan terlebih dahulu sama ada tindakan mereka akan menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan rakyat Sarawak.

Ditanya sama ada perkembangan ini boleh menjejaskan hubungan GPS dengan PH di peringkat persekutuan, Karim berkata ia adalah soalan yang harus dijawab oleh pemimpin tertinggi PH.

“Jika atas nama demokrasi, PH negeri perlu bertanding menentang GPS dalam pilihan raya akan datang, biarkan mereka.

“Tetapi kita akan menilai pucuk pimpinan PH berdasarkan tindakan, restu dan sokongan mereka terhadap bahagian negeri.

“Kerajaan perpaduan ditubuhkan atas asas kepercayaan. Mari kita lihat siapa yang melanggar amanah itu.

“Nasihat saya kepada PH Sarawak adalah untuk menyokong GPS sedia ada dan tidak mengganggu keharmonian atas nama demokrasi,” kata Karim kepada FMT.

Menteri negeri itu menegaskan bahawa Malaysia adalah negara demokrasi dan GPS tidak akan menghalang sekutu persekutuannya daripada bertanding dalam pilihan raya Sarawak akan datang.

Beliau berkata GPS telah menjalankan tugas dengan baik dalam mentadbir Sarawak, tetapi bersedia untuk membenarkan pengundi menyatakan pandangan mereka dengan membuang undi sekiranya berlaku cabaran oleh PH negeri.

“Politik adalah mengenai penyatuan rakyat, membawa kemajuan dan pembangunan kepada negeri dan negara, tadbir urus yang baik dalam pentadbiran dan membina keharmonian sosial, agama dan kaum.

“Saya percaya inilah yang kerajaan GPS kerajaan lakukan sekarang.

“Jika pemimpin tempatan PH di Sarawak merasakan kerajaan GPS Sarawak tidak berbuat demikian, mereka bebas mengadakan jelajah politik dan meyakinkan rakyat Sarawak bahawa kerajaan negeri sedia ada perlu ditukar.

“Keputusan muktamad terletak pada rakyat dan saya percaya rakyat Sarawak akan bersikap waras dan analitikal sebelum mereka mengundi pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Pada Ahad, Ketua Penerangan PKR Sarawak Tay Wei Wei berkata bahagian negeri akan bertanding setiap kerusi yang diperuntukkan oleh PH Sarawak semasa PRN yang lalu.

Beliau juga berkata PKR Sarawak akan memulakan jelajah pilihan raya di seluruh negeri mulai November dan mengadakan kempen keahlian untuk persediaan menghadapi PRN akan datang dan membuktikan kepada rakyat Sarawak bahawa PKR dan PH serius untuk berkhidmat kepada mereka.

Pada PRN 2021, PKR Sarawak gagal memenangi satu kerusi di DUN walaupun meletakkan 28 calon, 22 daripadanya kehilangan wang deposit.

Rakan komponen PH Amanah turut tewas, manakala DAP Sarawak hanya berjaya mempertahankan dua daripada tujuh kerusi yang dimenanginya pada 2016.

Sumber – https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/