Pemikiran takfiri adalah sesuatu yang diindoktrinasikan oleh pemimpin ke atas pengikut.




Jamzuri Ardani


Saya ambil contoh satu posting FB oleh Presiden PAS yang disiarkan pada tahun 2018. 


Dalam posting itu, beliau mengumpamakan seolah-oleh anak-anak pemimpin PAS yang meninggalkan perjuangan PAS adalah seperti anak-anak Nabi Nuh AS yang menolak kerasulan ayah mereka. 


Kalau ini bukan pemikiran takfiri apa lagi? 


Logik beliau ialah, DAP sebuah parti yang anti Islam, maka sesiapa yang bekerjasama dengan DAP adalah musuh Islam. 


Pemikiran seperti ini adalah anti-thesis kepada teras utama pembinaan maayarakat demokratik.  


Perbezaan dan pertembungan politik dalam konteks masyarakat demokratik adalah di dalam kerangka besar undang-undang dan perlembagaan negara. Apa pun pertembungan fahaman politik, samada dalam isu agama, ekonomi, pendidikan, keselamatan, dan lain-lain, selagi ianya beroperasi dalam kerangka demokrasi, undang-undang, dan perlembagaan maka tidak harus dibenarkan mana-mana pihak menuduh pihak lain sebagai anti atau memusuhi mana-mana agama atau kaum. 


PAS, DAP, dan semua parti politik yang sah adalah parti politik yang beroperasi dalam kerangka besar ini. Menuduh mana-mana parti yang tidak sealirannya dengannya sebagai anti-Islam adalah perbuatan yang melampaui batas demokrasi dan tidak adil. Ia adalah satu bentuk kezaliman. Allah tidak suka orang yang berbuat zalim. 


Ibarat kita masuk pertandingan bolasepak.  Semua pasukan yang bertanding mesti menggunapakai peraturan bolasepak. Jika kita mahu guna peraturan rugbi dalam pertandingan bolasepak, itu zalim. 


Samalah juga dengan pilihanraya. Semua parti mesti punya status keabsahan yang sama dari sudut undang-undang dan perlembagaan negara. Baru adil.  


Jika kita melemparkan tuduhan 'musuh Islam' terhadap lawan politik, itu sudah menafikan keabsahannya parti itu sebagai sebuah parti yang sah yang bernaung di bawah undang-undang dan perlembagaan negara yang sama dengan semua parti lain. 


Kekeliruan inilah antara punca tersebarnya pemikiran ghuluw dan takfiri dalam masyarakat akibat berbeza fahaman politik. 


Malangnya seorang Presiden sebuah parti politik yang besar dan memerintah tiga negeri kelihatannta seperti tidak faham perkara asas seperti ini. Cukup malang.



No comments: