UMNO DALAM BAHAYA JIKA KALAH DI NENGGIRI



Sama seperti PRK Dun Sungai Bakap sebelum ini yang PKR begitu berharap dapat memenanginya, situasi yang sama turut berlaku kepada UMNO dalam PRK Dun Nenggiri pada 17 Ogos depan.


Bagi PKR, parti itu amat berharap dapat memenangi PRK Dun Sungai Bakap bagi menafikan wujudnya sentimen penolakan rakyat terhadap kerajaan madani.


Tambahan lagi Sungai Bakap adalah tempat di mana Anwar Ibrahim dilahirkan dan jika kerusi milik Pas/PN itu mampu dirampas, ia adalah suatu isyarat yang baik bagi menggambarkan kerajaan madani masih diterima oleh rakyat negara ini.


Sebab itu, sebelum PRK Sungai Bakap, Anwar difahamkan telah memberi arahan kepada menteri-menteri PKR agar “by hook or by crook” memastikan kerusi itu mesti sedaya upaya cuba dimenangi.


Malangnya, impian itu tidak menjadi kenyataan, malah daripada kalah 1,563 undi, kekalahan calon PKR bertambah kepada 4,267 undi.


Mahu tidak mahu, baik PKR, PH atau lain-lain parti dalam kerajaan madani, mereka kini terpaksa menerima realiti bahawa penolakan rakyat bukan lagi ilusi, tapi benar-benar suatu realiti.


Selepas Sungai Bakap, kini datang pula PRK Nenggiri yang perlu dihadapi.


Kali ini giliran UMNO pula berdepan situasi yang sama dihadapi PKR sebelum ini.


Jika di Sungai Bakap Pas/PN menang sebelumnya dengan majoriti 1,563 undi, di Nenggiri kemenangan Bersatu/PN hanyalah 810 undi.


Dengan berbekalkan kekurangan undi 810 undi itulah UMNO/BN akan berusaha sedaya upaya memenangi PRK Dun Nenggiri pada 17 Ogos depan.


Mampukah UMNO/BN mencipta kejayaan atau mereka juga akan mencipta sejarah yang sama seperti PKR di Sungai Bakap?


Kalau kalah lagi, terutama dengan undi lebih besar daripada 810, UMNO pasti akan terus bergegar atau digegar kedudukannya menjelang PRU16 akan datang.


Sebagai langkah awal untuk mencipta kemenangan, UMNO telah melantik Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Kempen bagi PRK tersebut.


Perlantikan itu adalah hanya Ku Li yang diyakini faham tentang kedudukan Dun Nenggiri yang terletak dalam kawasan Gua Musang itu.


Untuk langkah awal agar kemenangan benar-benar terhasil, difahamkan pemimpin-pemimpin parti dalam kerajaan perpaduan yang ingin turun berkempen di Nenggiri perlu melalui tapisan beliau terlebih dahulu.


Hanya yang mendapat lampu hijau daripada Ku Li saja yang dibenarkan datang berkempen ke Nenggiri.


Keadaan itu segera mencetuskan spekulasi kononnya Rafizi Ramli yang mengungkapkan perkataan “bodoh” dan “bahlol” ketika berkempen di Sungai Bakap sebelum ini adalah antara yang bakal dilarang daripada turun berkempen di Nenggiri.


Nama lain yang disebut-sebut bakal dikenakan larangan yang sama ialah Lokman Noor Adam, Pengarah Komunikasi UMNO.


Oleh kerana Lokman pun dalam banyak ceramahnya sebelum ini kerap mengungkapkan perkataan “bodoh”, dibimbangi beliau akan terbabas lagi ketika sedang syok berkempen dengan mikrofon dan kamera ada di depannya.


Satu perkara ialah ialah PRK Nenggiri nanti diadakan hanya beberapa hari sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU2024) yang akan diadakan antara 21 hingga 24 Ogos di WTCKL.


Memandangkan telah ada dua bahagian di Johor yang meluluskan usul agar UMNO mengkaji semula kedudukannya dalam kerajaan madani, bayangkanlah apa situasi pada PAU2024 kali ini jika kerusi Dun Nenggiri gagal dimenangi?


Tentulah Dewan Merdeka WTCKL lebih panas lagi kiranya kekalahan calon UMNO/BN nanti bukan saja lebih daripada 800 undi, bahkan mencecah sehingga 2,000 atau 2,500 undi.


Inilah juga yang menjadikan PN tambah bersemangat tinggi untuk mengulangi sejarah Sungai Bakap ke Nenggiri nanti. – ShahbudinHusin 22July2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/07/22/umno-dalam-bahaya-jika-kalah-di-nenggiri.html



No comments: