PARA PARA PENJAHAT

 

Irfan Bahrin


Fitnah adalah syiar dan panji kebodohan.


Biasanya, yang mengibarkan adalah orang jahat. Bila ia dikibarkan, orang bodoh pun berkumpul di sekelilingnya. 


Yang mengibarkan adalah iblis dan syaitan. Lalu berkumpullah di kelilingnya ahli neraka. 


Fitnah adalah najis bahan buangan orang jahat, kemudian menjadi makanan orang bodoh. 


Semakin banyak fitnah yang disebarkan demi dan dalam suatu kumpulan, bererti semakin ramai orang bodoh dan orang jahat dalam kumpulan itu.


Orang yang tidak pandai membezakan antara fitnah dan kebenaran, ibarat orang yang tidak pandai membezakan antara makanan dan najis.


Orang yang tidak kisah yang dia ambil itu fitnah ataupun tidak, ibarat orang yang tidak kisah makan bercampur najis.


"Aku sebarkan fitnah ini demi kebaikan, demi bangsa, demi agama, demi kumpulan kita," katanya. 


Hakikatnya dia adalah syaitan pedagang najis yang mahu membuatkan orang baik, orang yang sayang bangsa, orang yang sayang agama, makan najis.


Anda mungkin rasa 'najis' ini cuma perumpamaan, tapi ia akan menjadi realiti kepada ramai orang. 


Bagaimana jika seseorang itu masuk neraka kerana mencipta, menyebarkan, ataupun tidak kisah dengan fitnah? 


Neraka itu, antara seksa dahsyatnya, ialah meneguk kotoran dan nanah ahli neraka. Kerana dulu di dunia, mereka mampu memilih antara yang baik dan yang keji, lalu mereka memilih yang keji. 


Wallahua'lam. Moga Allah mengampunkan kesilapan dan memelihara kita.



No comments: