Dzolkarnain
1. Menengok, menilik bukan perubatan Islam. Islam tidak pernah membenarkan tengokan, tilikan. Pemberitahuan penengok, penilik adalah bohong. Syaitan yang membisikkan maklumat bohong itu ke telinga penengok, penilik.
2. Menjampi juga bagi saya bukan perubatan Islam. Meskipun penjampi menggunakan ayat Quran atau hadith. Apatah lagi jika jampi yang diguna bukan Quran atau hadith. Meskipun penjampi adalah ustaz, apatah lagi bomoh.
3. Penjampi menggunakan jampi yang sama atau lebih kurang sama untuk semua jenis masalah. Penjampi tidak menganalisa penyakit dan puncanya. Bahkan penjampi tak tahu pun jenis penyakit. Penjampi hanya agak-agak sahaja dalam amalannya.
4. Saya tidak berkata "berjampi" salah. Saya tahu lafaz yang diajar oleh Nabi SAW yang boleh diguna sebagai "jampi". Saya tahu ada hadith tentang sahabat yang "menjampi" dengan surah al-Fatihah dan mendapat "pengeras" seekor kambing. Saya tahu hal itu.
5. Itu isu lain. Fokus saya ialah, bomoh atau ustaz yang menjampi telah menipu orang ramai atas nama "perubatan Islam". Dakwa mereka, perubatan jampi adalah perubatan Islam. Seolah-olah ilmu perubatan yang dipelajari oleh anak-anak kita selama 5 tahun di universiti, secara sepenuh masa, cuti pun terhad, bukan perubatan Islam.
6. Bayangkan, perubatan Islam ialah jampi. Pengamal perubatan Islam ialah bomoh atau ustaz yang menjampi. Doktor dan jururawat yang bersengkang mata termasuk pada hari raya di hospital bukan pengamal perubatan Islam?
7. Datang ustaz atau bomoh, pegang jag air, dengan mata sedikit tertutup, mulut berkumat-kamit berjampi dengan ketayap di kepala, perubatan Islam selalu?
8. Itukah bentuk perubatan yang disandar kepada Islam? Jampi? Lekeh benar Islam jika itulah bentuk perubatannya. Ilmu perubatan yang cabang-cabangnya ratusan, dengan ribuan pakar dalam setiap cabang, bukan perubatan Islam?
9. "Perubatan Islam" ialah jampi yang ditiup, dilakukan oleh seorang ustaz, dipelajari dari mulut ke mulut, diijazahkan oleh seorang atau beberapa orang guru, tanpa kajian, tanpa makmal, tanpa eksperimen, tanpa data, boleh dipelajari oleh sesiapa saja tanpa syarat kelulusan dalam bidang ilmu tertentu, terutama ilmu sains... Inikah perubatan Islam?
10. Lama benar kita ditipu oleh ustaz dan bomoh yang berjampi, kononnya merekalah pengamal perubatan Islam. Cara mereka adalah cara perubatan Islam. Kesian orang Islam. Mereka ditipu oleh orang Islam sendiri.
11. Sudara... Perubatan Islam bukan begitu. Perubatan Islam ialah perubatan yang berpaksikan ilmu, kajian, data dan penelitian yang mendalam. Ilmu perubatan Islam ketat dengan disiplin dan etika. Hanya mereka yang punya kelayakan tertentu layak mencebur diri dalam bidang ini.
12. Bidang ini melibatkan nyawa manusia. Bukan main-main. Bukan boleh agak-agak dan jampi-jampi. Nyawa adalah nombor satu dalam urutan keutamaan dan tujuan syariat. Nabi SAW menyuruh sahabat yang mengadu sakit berjumpa dengan orang yang berkeahlian dalam urusan itu.
13. Justeru, para doktor dan jururawat adalah pengamal perubatan Islam sebenar. Bukan bomoh, bukan ustaz, bukan juru bekam dan bukan tukang al-fasd (pengeluar darah melalui urat). Bukan juga tukang jampi.
14. Bidang perubatan Islam berada di universiti yang dikendalikan oleh pakar bidang itu. Berada di hospital yang dikendalikan oleh doktor, jururawat dan pembantu perubatan. Bukan di pusat bekam, atau di pusat rawatan yang dinamai "Pusat Rawatan Islam".
15. Berhentilah menipu dan menjadi mangsa penipu.