LEBAI JANGAN IKUT SYOK SENDIRI

 


Hapiz Kodiang


Saya nasihatkan kepada tenaga pengajar supaya memerhatikan beberapa perkara seperti berikut :



1. Pastikan kuliah kita padat dan berfakta berdasarkan silibus atau pelan pengajaran yang kita susun. Jangan terbabas melanggar bab-bab luar kepakaran kita. Zaman ini, ustaz tidak lagi boleh mengetahui semua perkara. Kena hormat subbidang kepakaran orang lain.


2. Selalu tanya feedback jemaah daripada pengerusi masjid/surau terhadap kerelevenan kuliah kita. Jika sambutan semakin pudar dan kehadiran pun sangat menyedihkan, maka berhentilah mengajar buat seketika supaya kita dapat meningkatkan kemahiran mengajar. 


3. Jaga reputasi diri agar tidak dipandang rendah oleh jemaah. Sebab itu penting untuk mengenal latarbelakang mereka terutama di kawasan bandar elit. Bukan semua masjid/surau kita wajar terima jemputan. Ia mungkin sesuai untuk pengkuliah lain yang lebih berkemampuan dari kita.


4. Bagi kuliah maghrib, cuba sedaya upaya untuk fokus 1 atau 2 isu sahaja. Nyatakan intisari atau pengajaran penting. Tidak perlulah hurai i'rab perkataan satu persatu, atau bahas nahu sorof. Ia bukan masa dan tempat yang sesuai apatah lagi, jemaah bukannya mahu belajar bahasa Arab. Lagi satu, jemaah yang 'cerdik' akan dapat detect adakah pengkuliah benar² bersedia atau goreng kosong.


Melihat kepada nota di bawah (jika benar ia ditulis begitu), ada dua keadaan saya dapat lihat:


1. Pengajaran ustaz berkenaan tidak efektif atau syok sendiri kerana gagal mengawal perhatian murid. Waktu berkuliah, semua jemaah adalah anak murid kita seperti dalam kelas. Namun untuk diketahui kuliah² yang tidak efektif, ia perlu dapatkan laporan survey semua jemaah yang terlibat. Pihak pengurusan masjid, cuba edarkan borang maklum balas pelanggan sama ada hardcopy atau online kepada semua jemaah setiap kali kuliah ustaz² yang mengajar. Ia lebih adil untuk mendapatkan pandangan, bukan sekadar nota terbang seperti dalam gambar di bawah.


2. Sikap buruk jemaah yang hanya menjadikan waktu Maghrib sebagai masa rehat berbual kosong sambil menikmati kedinginan pendingin hawa. Berbanding keadaan di rumah yang panas, sesak dan tidak kondusif. Bagi mereka, masjid adalah lokasi paling seronok untuk 'melunjur kaki'. Mereka ini yang sepatutnya keluar daripada masjid agar tidak mengganggu perjalanan kuliah.


Khulasahnya, saya cadangkan agar pengurusan masjid/surau menyelidiki keperluan jemaah dari segi ilmu apa yang mereka mahukan dan masa yang efisien. Biarlah praktikal untuk mereka. Jangan bersaing dengan masjid/surau lain hanya untuk menunjukkan jadual kuliah yang padat setiap malam dan Subuh tetapi jemaah tidak berminat. 


Mungkin tiba masanya sesetengah masjid/surau menyusun waktu kuliah dibuat selepas solat Isyak atau hujung minggu Sabtu Ahad. Waktu Maghrib, kita buat tadarus al-Quran sahaja sehingga Isyak masuk. Maka geng² tua macam dalam nota itu terpaksa mengaji. Hanya syaitan saja yang lari dari mendengar al-Quran.


Dr HK

19 Mei 2024