PMX DI UZBEKISTAN

 









Memulakan hari kedua di Tashkent, Uzbekistan hari ini dengan mengunjungi Kompleks Hazrati Imam, yang juga pusat keagamaan Islam di bandar ini.


Ketibaan saya bersama barisan menteri dan delegasi Malaysia disambut oleh Timbalan Mufti 1 Uzbekistan, Sahibus Samahah Hamid Bahrom yang langsung membawa kami ke sebuah perpustakaan seliaan Lembaga Muslim Uzbekistan di dalam kompleks ini.


Alhamdulillah, berpeluang melihat sendiri naskhah Al-Quran yang dihasilkan atas perintah Khalifah Saidina Uthman bin Affan antara tahun 644 hingga 646. Imam Hamid memaklumkan ini adalah satu-satunya daripada enam Al-Quran yang masih kekal.


Imam Hamid turut maklumkan bahawa inilah juga Al-Quran yang dibaca Saidina Uthman tatkala beliau dibunuh. Bahkan masih ada kesan titisan darah Saidina Uthman di halaman surah Al-Baqarah di dalam Al-Quran ini.


Menurut Imam Hamid, Kerajaan Uzbekistan ketika ini sedang membangunkan Pusat Ketamadunan Islam dan apabila siap, Al-Quran ini dan kandungan lain dalam perpustakaan akan dipindahkan ke sana.


Saya kagum dengan kesungguhan Kerajaan Uzbekistan dan penduduknya memelihara artifak-artifak sejarah yang begitu penting bagi dunia Islam.


Saya kemudian terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Tashkent untuk ke Samarkand sambil diiringi Perdana Menteri Uzbekistan, Abdulla Nigmatovich Aripov. Saya ucapkan terima kasih atas layanan baik di Tashkent sebelum berlepas.


#MalaysiaMADANI