Najib Razak menerima USD120 juta daripada
hasil pinjaman Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) kepada SRC
International Sdn Bhd antara Dis 2011 hingga Mei 2012, Mahkamah Tinggi
diberitahu.
Pengarah Urusan Quantuma International Angela
Barkhouse yang juga pakar pemulihan aset luar pesisir memberi keterangan,
bahawa wang itu masuk ke akaun bank peribadi bekas perdana menteri di Ambank
menerusi tiga transaksi dari sebuah syarikat dikenali sebagai Blackstone Asia
Real Estate Partners, dengan jumlah pertama USD70 juta pada 29 Dis 2011.
Barkhouse yang memberi keterangan sebagai
saksi kedua dalam perbicaraan saman sivil SRC International, berkata USD50 juta
lagi diterima menerusi dua transaksi, masing-masing pada 12 Mac 2012 dan 22 Mei
2012.
“Transaksi ini ditanda dengan rujukan
‘AMPrivate Banking’ dalam penyata bank Blackstone dan saya dapat mengaitkan
jumlah yang diterima dalam ringgit (RM) dengan transaksi dari akaun Blackstone
dalam dolar AS (USD) dengan menggunakan pertukaran mata wang.
“Nik Faisal Ariff Kamil (bekas ketua pegawai
eksekutif SRC International) juga menerima USD82,000 daripada Blackstone Asia
antara 27 Jan 2012 dan 8 Feb 2012,” katanya semasa memberi keterangan secara
dalam talian dari British Virgin Island dalam prosiding saman sivil USD1.18
bilion SRC International terhadap Najib di hadapan Hakim Ahmad Fairuz Zainol
Abidin.
Dalam perbicaraan yang melibatkan Najib
sebelum ini, telah dibuktikan di mahkamah bahawa Blackstone Asia Real Estate
Partners adalah sebuah syarikat ditubuhkan ahli perniagaan dalam buruan, Low
Taek Jho atau Jho Low, yang mempunyai nama serupa dengan firma ekuiti hartanah
sebenar Blackstone Real Estate.
Barkhouse berkata, terdapat pergerakan keluar
dana dari Blackstone ke pelbagai perantara termasuk syarikat produksi filem
anak tiri Najib, Red Granite Capital Ltd (USD17.5 juta), USD24.8 juta kepada
Brightstone Jewellery Limited serta Alsen Chance Holdings Limited (USD168.5
juta), kedua-duanya dilaporkan dimiliki rakan sekutu Jho Low, Tan Kim Loong.
“Saya percaya bahawa berdasarkan bukti yang
tersedia kepada saya terutamanya pemeriksaan terhadap maklumat perbankan yang
berkaitan dengan Alsen Chance dan Brightstone, mereka adalah shell companies
yang tidak menjalankan perniagaan sah, selain dari mengaut dana yang disalah
guna dari 1MDB dan SRC International,” katanya.
SRC di bawah pengurusan baharu telah
memfailkan saman itu pada Mei 2021, atas dakwaan Najib telah melakukan pecah
amanah jenayah, salah guna kuasa, dan memperoleh ganjaran peribadi daripada
dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan.
Syarikat itu memohon ganti rugi am, ganti rugi
teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos, dan relief lain yang difikirkan
sesuai mahkamah.
SRC juga menuntut deklarasi mahkamah bahawa
Najib bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami syarikat itu akibat
pelanggaran tugas serta amanah beliau dan menuntut supaya beliau membayar balik
kerugian yang dialami sebanyak RM42 juta.
Najib, 70, yang kini menjalani hukuman di
Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng
RM42 juta dana SRC International. Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk
pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.
Susulan keputusan pengampunan itu, hukuman
penjara Najib telah dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala
denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Sumber –
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/03/11/usd120-juta-pinjaman-kwap-kepada-src-masuk-akaun-peribadi-najib-kata-saksi/