Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan laporan terbaharu Human
Rights Watch (HRW) yang mendakwa kerajaan mendera kumpulan pelarian dan warga
asing dengan menempatkan mereka di pusat tahanan imigresen yang sesak serta
kononnya melebihi kapasiti.
Menteri Dalam Negeri Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
berkata, ketika ini terdapat 20 depoh imigresen di negara ini dengan kapasiti
20,650 namun sehingga 7 Mac jumlah mereka yang ditempatkan di depoh tahanan
ialah seramai 13,635 iaitu di bawah kapasiti maksimum.
"Laporan HRW tertolak dengan sendirinya. Biar angka
berbicara, adakah sesak, jawapannya tidak," jelas beliau ketika menjawab
soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin menjelaskan, kerajaan membelanjakan sebanyak RM123 juta
pada tahun lepas dengan kos makanan sebanyak lima kali sehari mencecah RM83
juta.
"Bila kita usir kita bayar duit feri dan kapal terbang,
begitu sekali kita jaga, tapi HRW kata kita dera sampai kematian,"
katanya.
Beliau berkata warga Myanmar paling ramai direkodkan berada di
depoh imigresen iaitu seramai 4,541 diikuti Indonesia (3,797), Filipina
(2,914), Bangladesh (1,000), Thailand (329) dan negara-negara lain 1,054.
Jelas beliau, tahanan tersebut membabitkan mereka yang telah
menjalani proses hukuman di penjara sementara menunggu proses dokumentasi dari
kedutaan negara asal untuk dihantar pulang.
"Lagi cepat dokumen perjalanan dikeluarkan lagi cepat
dikeluarkan, lagi cepat kita hantar pulang," katanya.
Selain itu, jelasnya terdapat juga tahanan yang disyaki terlibat
di bawah kesalahan Akta Imigresen dan dalam proses diserahkan kepada pendakwa
raya selain pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
Untuk Pelarian (UNHCR) yang melakukan kesalahan jenayah.
Saifuddin berkata, ekoran laporan pemerhati hak asasi yang
berpusat di New York itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dipanggil oleh
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan HRW turut diberi keterangan serta
diminta mengemukakan pembuktian kes penderaan dan kematian yang disebut dalam
laporan itu.
"Satu cebis bukti pun tidak diberi tetapi (laporan) disyarah
satu dunia," katanya.
"Ini sangat tidak bertanggungjawab, perlu tampil kepada saya
bukti. Saya akan segera ambil tindakan dan beri penjelasan versi yang lebih
berkredibiliti yang dapat diuar-uarkan bagi menjernihkan tuduhan ini,"
katanya.
Kepada soalan tambahan Guan Eng mengenai isu pelarian, Saifuddin
berkata kementerian sentiasa berhubung dengan UNHCR bagi melakukan silang semak
jumlah pelarian yang berada di negara ini untuk menangani isu tersebut.
Katanya, pemegang kad UNHCR tidak akan ditahan sekiranya ditemui
dalam sebarang operasi Imigresen melainkan mereka melakukan kesalahan jenayah.
"Melainkan jika melakukan kesalahan jenayah seperti kes bunuh
dan rogol," ujarnya sambil memaklumkan pemegang kad pelarian turut bebas
melakukan kegiatan untuk meneruskan kehidupan seperti berniaga ketika menjawab
soalan tambahan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh).