APAKAH USAHA DAN KEJAYAAN KERAJAAN MADANI ?







 Apakah usaha dan kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan MADANI? Saya maklum ramai yang bertanyakan soalan ini.


Ini jawapannya. Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara yang saya pengerusikan petang tadi secara rasmi memaklumkan bahawa Malaysia pada 2023 telah mencatatkan pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM329.5 bilion, 23 peratus lebih tinggi berbanding 2022.


Daripada jumlah pelaburan itu, pelaburan asing merupakan penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2 peratus ketimbang pelaburan domestik sebanyak 42.8 peratus. 


Prestasi cemerlang ini disokong lonjakan pelaburan domestik sebanyak 35.1 peratus bagi pelaburan domestik dan peningkatan sebanyak 15.3 peratus bagi pelaburan asing. 


Ini adalah satu petanda jelas bahawa dasar mesra pelaburan dan mesra perniagaan yang dilaksanakan menerusi pendekatan seluruh Kerajaan telah mula membuahkan hasil dalam meningkatkan keyakinan pelabur.


Mesyuarat turut membincangkan hala tuju pelaburan digital negara selaras dengan perkembangan sektor ekonomi digital yang diunjur menyumbang sebanyak 25.5 peratus ketimbang 23.2 peratus pada 2021.


Antara 2021 hingga 2023, sebanyak 396 projek berkaitan digital telah diluluskan dengan nilai pelaburan sebanyak RM128.9 bilion dalam sektor pusat data, pengkomputeran awan, pengehosan data, analisis data besar, dan kecerdasan buatan. Pelaburan dalam projek digital ini dijangka mewujudkan 36,553 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.


Kehadiran syarikat-syarikat digital terkemuka dunia dan peneraju pasaran global di Malaysia juga memberi isyarat penting bahawa Malaysia mempunyai tarikan dan ekosistem pelaburan yang kondusif untuk pelaburan digital. 


Justeru, saya tegaskan supaya jabatan dan agensi Kerajaan untuk memudah cara sebaik mungkin pelaburan digital berpotensi tanpa sebarang kompromi terhadap aspek berkaitan keselamatan data dan kedaulatan negara.


#MalaysiaMADANI



No comments: