DR AGUS, TOLONGLAH SAYANG BANTU POLIS CARI WAHAB!!


Setelah seminggu masa berlalu, individu penting dalam siasatan pihak polis berkaitan “video Wahab” iaitu Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, masih lagi belum muncul untuk diambil keterangannya.


Pihak polis juga seperti sudah buntu untuk mengesan dan mencarinya.


Kali terakhir beliau muncul ialah ketika sidang media bersama Prof Dr Mohd Agus Yusof di sebuah hotel di Bangi, minggu lalu.


Sehubungan itu, pihak polis meminta agar Wahab segera tampil untuk diambil keterangannya, terutama untuk mengesahkan peranan “Mr H” dalam kontroversi video tersebut.


Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, pihaknya menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman cuba menggunakan pelbagai cara dalam usaha mengesan penolong pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) itu.


“Meskipun sudah dipanggil untuk membantu siasatan, Wahab masih belum tampil untuk membantu polis berhubung siasatan kes berkenaan.


“Kita menggunakan pelbagai cara termasuk menghubunginya, namun telefon bimbit miliknya dimatikan,” kata beliau.


Menurut Razarudin lagi, usaha polis mengesan Wahab melalui peguamnya juga menemui jalan buntu.


“Justeru, saya meminta kepada Wahab untuk segera tampil untuk proses rakaman percakapan bagi membantu siasatan sekaligus menyelesaikan kes berkenaan dalam kadar segera.


“Maklumat dan keterangan daripada Wahab amat penting sekali gus dapat mengesahkan peranan ‘Mr H’ dalam kes berkenaan,” katanya.


Wahab…Oh Wahab…mana kamu pergi?


Kenapa bersembunyi?


Polis bukan nak tangkap kamu, sebaliknya cuma nak ambil keterangan daripada kamu saja?


Maka, nak takut apa?


Begitu pun, oleh kerana sudah seminggu polis gagal mengesan Wahab, mungkin dalam hal ini, sudah tiba masanya dan amat perlu untuk Dr Agus sendiri tampil membantu pihak berkuasa.


Jika sebelum ini Dr Agus berjaya membawa Wahab hadir ke sidang akhbar bersamanya, barangkali beliau tahu dan ada cara untuk mencari lelaki berkenaan.


Mungkin Dr Agus juga tahu di mana tempat tinggalnya, siapa kawan-kawannya atau lain-lain maklumat mengenai Wajab, meskipun telefon bimbitnya kini dilaporkan telah dimatikan.


Tolonglah Dr Agus…hanya padamu sayang satu-satunya harapan yang tinggal sekarang ini!! – ShahbudinHusin 26/11/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/11/26/dr-agus-tolonglah-bantu-cari-wahab.html



No comments: