Usai merentas sempadan Malaysia-Thailand, saya langsung ketemu Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin dalam Sesi Pertemuan Empat Mata di Bangunan CIQ Sadao, Thailand.
Antara isu yang dibincang adalah:
1. Situasi di Palestin terutamanya mengenai tebusan warganegara Thailand yang berada di bawah tahanan Hamas dan Malaysia sedang melakukan yang terbaik bagi membantu pihak Thailand. Seramai 17 orang tebusan telah dibebaskan manakala selebihnya 15 orang masih ditahan di Semenanjung Gaza. PM Srettha telah menyampaikan terima kasih kepada Malaysia di atas segala bantuan dan sokongan yang diberikan dalam hal ini.
2. Situasi di Selatan Thai dan usaha ke arah keamanan di mana Malaysia komited dalam peranannya sebagai pemudahcara (facilitator), diketuai oleh Jen. (R) Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin. PM Srettha menghargai peranan Malaysia dan Kerajaan Thailand pada hari ini telah melantik Ketua Perunding bagi pihak Thailand dalam proses keamanan di Selatan Thailand.
3. Malaysia turut memohon pertimbangan dari pihak Thailand untuk mempercepat projek jambatan (land-bridge) yang menghubungkan Rantau Panjang-Sungai Golok. PM Srettha bersetuju untuk memulakan projek tersebut seawal tahun hadapan, bersama-sama Malaysia.
PM Srettha dan saya turut berbincang hal-hal lain yang melingkungi hubungan dua hala Malaysia-Thailand. Insya-Allah, hubungan Malaysia-Thailand akan terus mekar dalam pelbagai sektor demi kepentingan rakyat kedua-dua negara.
#MalaysiaMADANI