Pembiayaan RM1 juta tarik petani muda ceburi bidang pertanian


 Oleh: Abdullah Zaid


Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukan sebanyak RM 1 juta menerusi Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan bagi menarik lebih ramai petani muda.


Timbalannya, Chan Foong Hin (PH - Kota Kinabalu) berkata pembiayaan yang ditawarkan melalui Agrobank pada kadar 3.5% itu memberi tempoh pinjaman sehingga 10 tahun selain kementerian akan memberikan bimbingan berteraskan teknologi terkini.


"Bagi mewujudkan lebih ramai petani muda, KPKM menerusi Agrobank telah menawarkan pinjaman sehingga RM 1 juta serta bimbingan kepada mereka menggunakan kemudahan moden dan terkini," katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau berkata demikian, bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Edwin anak Banta (GPS - Selangau) mengenai langkah kerajaan dalam mewujudkan usahawan tani di kalangan belia.


Mengulas lanjut, Chan berkata, kementerian juga pada ketika ini sedang giat mewujudkan program pensijilan berasaskan pertanian bagi meningkatkan kemahiran golongan belia.


Jelasnya, sebanyak 10 latihan melalui sijil dan diploma telah diperkenalkan di 15 pusat pertanian berdaftar di Malaysia.


"Dalam usaha memperkasakan usahawan muda, KPKM telah memperkenalkan 10 bidang antaranya tanaman; pertanian air tawar dan marin; perikanan dan tangkapan; pemprosesan makan; padi dan penyenggaraan.


"Kesemua kemahiran itu khusus kepada belia yang berusia 18 hingga 20 tahun dan ia disediakan di 15 pusat pertanian yang bertauliah di Malaysia," ujarnya lagi.

No comments: