DSAI BERTEMU SULTAN SELANGOR BERKAITAN ISU PENGGUNAAN NAMA ALLAH SEBAGAIMANA YANG SEPATUTNYA .

 







Saya telah menghadap DYMM Sultan Selangor hari ini dan menyembah maklum kepada Baginda berhubung keputusan Kerajaan dalam kes Jill Ireland melawan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Rayuan.


Dalam sesi menghadap tersebut, saya telah menjelaskan pendirian Kerajaan Persekutuan yang menghormati undang-undang yang berkuatkuasa di negeri-negeri dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Ketua Agama Negeri dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam di peringkat negeri serta peranan Majlis Raja-Raja dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam di peringkat Persekutuan.


Selepas berbincang dengan DYMM Sultan Selangor, saya menghormati pandangan Baginda yang selari dengan keputusan Jemaah Menteri Mei lalu bahawa isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak lebih sesuai diperkemas dan diperjelaskan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang berperanan menasihati Majlis Raja-Raja.


Sehubungan itu, Baginda sebagai Pengerusi MKI telah bersetuju membawa perkara ini untuk dibincangkan dalam majlis berkenaan pada Ogos ini sebelum ia diangkat untuk pertimbangan dan penelitian Majlis Raja-Raja pada bulan Oktober pula.


Justeru, saya sekali lagi menegaskan pendirian Kerajaan Persekutuan untuk memperaku dan menerima pakai dasar sedia ada yang menghadkan penggunaan kalimah Allah kepada orang Islam di Semenanjung Tanah Melayu serta kelonggaran bersyarat oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak.


Kerajaan juga memberikan komitmen untuk memperkemas dasar sedia ada berdasarkan ketetapan Majlis Raja-Raja yang akan diangkat sebagai suatu dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia.


#MalaysiaMADANI



No comments: