DEDAHKAN SUPAYA KERAGUAN DISANGGAH. MALAYSIA NI MUDAH JA..JADI PM SOH GERAK NAIK MOTO KA BASIKAL JIMAT. RASANYA DENGAN LAWATAN DAN PELABURAN YANG DIBAWA BALIK IANYA BERBALOI.


ENGGAN DEDAH KOS PENERBANGAN ANWAR SEJAK JADI PM BUKAN SIKAP YANG BETUL DALAM MEWAJAHKAN ERTI SEBENAR SEBUAH KERAJAAN MADANI 


Dalam jawapan bertulis di Parlimen, kerajaan secara terang-terangan enggan mendedahkan jumlah kos penerbangan yang telah dibelanjakan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk lawatan ke luar negara sejak memegang jawatan itu.


Armizan Mohd Ali – menteri yang menjaga hal ehwal Sabah, Sarawak dan tugas-tugas khas memaklumkan bahawa penggunaan jet peribadi atau pesawat eksekutif kerajaan adalah keistimewaan yang dinikmati oleh setiap Perdana Menteri selaku ketua kerajaan.


Katanya, Anwar telah ke luar negara menggunakan jet eksekutif kerajaan jenis Airbus (ACJ-320) yang di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri sebanyak sembilan kali sejak mengangkat sumpah pada 24 November 2022.


Untuk penerbangan domestik pula, ujar beliau, Anwar telah 17 kali menggunakan pesawat jenis Global Express dan Falcon di bawah seliaan Tentera Udara Diraja Malaysia.


“Semua pesawat tersebut merupakan pesawat rasmi kerajaan di mana ia digunakan atas urusan rasmi atau khas oleh Perdana Menteri.


“Segala kos yang terlibat dalam penerbangan tersebut adalah dalam anggaran yang bersesuaian dengan perkhidmatan dan pengurusan pesawat berkenaan,” kata Armizan lagi.


Berita penuh kenyataan Armizan di sini - https://m.malaysiakini.com/news/666104


Aikk…kenapa tidak didedahkan jumlah kosnya?


Apa yang dimaksudkan kosnya dalam anggaran yang bersesuaian?


Bukankah yang ditanya oleh Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden ialah agar kerajaan mendedahkan jumlah kos perbelanjaan penggunaan pesawat itu kepada Parlimen dan bagi pengetahuan umum?


Bersikap terbuka dan berani mendedahkan jumlah kos penerbangan untuk Anwar sejak memegang jawatan Perdana Menteri bukan saja menunjukkan ketelusan dan keterbukaan, malah memperlihatkan kerajaan madani ini benar-benar berjiwa rakyat serta tidak menyembunyikan apa-apa di bawah karpet.


Kenapa takut untuk mendedahkannya jika semua urusan penerbangan Anwar itu adalah atas urusan rasmi sebagai ketua kerajaan?


Lagi pun, dengan Armizan sendiri mengatakan penggunaan jet itu adalah keistimewaan yang memang berhak dinikmati oleh seorang Perdana Menteri, bermakna tiada sebab untuk tidak mendedahkan jumlah kosnya bagi pengetahuan umum.


Bukankah yang dinamakan keistimewaan itu bererti tiada had minimum penggunaannya dan ia tidak perlu sama sekali untuk disembunyikan?


Malah dengan enggan mendedahkan jumlah kos itu lebih memberi gambaran atau tanggapan kepada sesetengah pihak seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dalam jumlah yang telah dibelanjakan selama ini.


Dedahkan sajalah, apa nak sembunyi-sembunyi pula?


Kerajaan melalui jawapan bertulis yang enggan mendedahkan jumlah perbelanjaan itu secara sedar telah menunjukkan sikap yang tidak betul dan bertentangan dengan perjuangan PH dan PKR selama ini serta makna sebenar kerajaan madani yang sedang dijaja.


Tambahan lagi, pertanyaan mengenai kos penerbangan itu adalah yang pertama kali ditanyakan terhadap Perdana Menteri.


Kalau soalan pertama pun gagal dijawab dengan telus dan terbuka, bagaimana dengan perkara-perkara lain?


Dalam pada itu jika kita imbas kembali, terutama ketika era pemerintahan Najib Razak, isu kos penerbangan bagi Perdana Menteri adalah perkara yang kerap ditanya oleh Ahli Parlimen PH di dalam Parlimen.


Pada tahun 2013 ketika kerajaan mendedahkan kos perbelanjaan penerbangan yang digunakan oleh Najib ialah berjumlah lebih RM100 juta bagi tempoh tiga tahun, PH melalui Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming ketika itu telah mecadangkan agar Perdana Menteri menggunakan penerbangan komersial MAS untuk lawatan ke luar negara dan tidak lagi jet eksekutif bagi tujuan menjimatkan kos.


Pada 2015 pula, ketika kerajaan enggan mendedahkan kos perbelanjaan jet eksekutif kerajaan, PH melalui Rafizi Ramli bukan saja menyelar pendirian itu, malah membuat kiraan sendiri anggaran perbelanjaan yang digunakan.


Berikutan itu, beliau membuat anggaran pesawat itu telah menelan belanja sebanyak RM40.8 juta antara April hingga September 2015 melalui 42 penerbangan yang menerbangkan Yang Dipertuan Agong, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri atas pelbagai urusan.


Sekarang bila sudah jadi kerajaan, kenapa kita juga bersikap rahsia tentang kos penerbangan Perdana Menteri?


Madani apa ini? – ShahbudinHusin 23/05/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: