KALAU UMNO TAK UNDI DAP, DAP TAK RUGI TAPI DAP TAK UNDI UMNO, UMNO BANYAK RUGI



Secara umumnya, UMNO dan DAP bertanding di kawasan yang berbeza serta tidak bertembung di tempat yang sama.


UMNO bertanding di kawasan luar bandar dan bermajoriti penduduk Melayu, manakala DAP bertanding di kawasan bandar serta bermajoriti penduduk kaum Cina.


Dalam erti kata lain, mereka bukan ancaman kepada satu sama lain.


Dengan itu, kenapa selama ini mereka perlu bermusuhan?


Sekarang ini pula, mengapa perlu ada yang sentap bila timbul gesaan agar ahli UMNO perlu mengundi calon DAP setelah kedua-dua parti bersama-sama berada dalam kerajaan?


Kalau ketika bermusuh dahulu mereka tidak bertembung atau berlaga untuk memenangi kawasan pilihan raya yang sama, setelah berkawan ini pun, mereka sebenarnya tidak perlu menyokong atau mengundi antara satu sama lain.


Berdasarkan PRU15 lalu, DAP bertanding hampir 50 kerusi Parlimen di kawasan bandar di seluruh negara.


Di semua kawasan yang ditandingi DAP itu, tanpa sokongan pengundi UMNO pun, DAP tetap akan menang kerana penyokong mereka ialah kaum Cina.


Contohnya Bukit Bintang, Kepong, Cheras, Segambut, Seremban, Kota Melaka dan kawasan bandar yang lain, andai kata jika semua pengundi Melayu tidak keluar pengundi pun, DAP tetap akan menang.


Mereka mampu menang kerana disokong oleh majoriti kaum Cina, sementara pesaingnya seperti MCA dan Gerakan sudah terketepi daripada jiwa pengundi Cina sendiri.


Setelah PH sekarang ini bekerjasama dengan BN, UMNO dan DAP sudah dikira bersahabat dan musuh yang bakal dihadapi bersama ialah Gerakan yang kini bersama daripada PN.


Ikut kebiasaan dan berdasarkan rekod yang lepas, DAP tiada masalah untuk menang sekurang-kurangnya 40 kerusi daripada hampir 50 kerusi yang mereka tandingi.


Disebabkan pengundi Melayu atau penyokong UMNO terlalu kecil di kawasan bandar dan parti pencabarnya pula terlalu lemah, sementara DAP sentiasa menjadi pujaan hati pengundi Cina, kemenangan tetap menjadi milik mereka.


Keadaan ini berbeza dengan UMNO, selain pencabarnya iaitu gabungan Bersatu dan Pas adalah sama-sama kuat, kerusi yang ditandingi UMNO juga lebih banyak.


Dalam PRU15 lalu, daripada 178 kerusi Parlimen yang ditandingi BN, hampir 100 daripadanya ditandingi oleh calon UMNO.


Daripada semua kawasan yang ditandingi UMNO itu, sementara majoritinya adalah kawasan Melayu, terdapat sebahagian kecil daripadanya adalah kawasan campuran di mana terdapat juga pengundi Cina di kawasan tersebut.


Contoh kawasan tersebut ialah pinggir bandar, bandar kecil atau kawasan bandar-bandar baru.


Berbeza dengan DAP yang bertanding di kawasan bandar dan pencabarnya ialah parti yang tidak kuat dan tidak diterima oleh pengundi Cina, UMNO sebaliknya bertanding di kawasan luar bandar dan campuran yang mana musuhnya iaitu Bersatu dan Pas adalah sama-sama kuat, malah lebih kuat daripada UMNO terutama di Pantai TImur dan Utara.


Selain untuk menang di kawasan Melayu memang sudah sedia mencabar buat UMNO kerana berdepan dengan sentimen agama yang dijuarai Pas, untuk menang di kawasan campuran pula tidak kurang cabaran yang perlu dihadapi.


Begitu pun, jika pengundi Cina atau penyokong DAP di kawasan campuran yang ditandingi UMNO sedia memberikan undi mereka kepada calon UMNO, ia adalah suatu kelebihan buat BN untuk beroleh kemenangan dalam berhadapan dengan Pas dan Bersatu daripada PN.


Undi Cina atau DAP sebanyak 10 atau 15 peratus yang diberikan kepada calon UMNO itu mampu memungkinkan kemenangan dapat diperolehi.


Dalam erti kata lain, undi DAP yang diberi kepada UMNO boleh membawa keuntungan kepada calon UMNO berbanding undi UMNO yang tidak membawa banyak untung kepada DAP.


Oleh itu, bila timbul gesaan agar ahli UMNO mengundi calon DAP, maksud tersirat yang lebih besar ialah agar pengundi DAP juga memberi undi mereka kepada calon-calon UMNO di kawasan campuran agar BN mampu menang lebih banyak kerusi dalam PRN dan PRU16 akan datang.


Pemimpin, ahli dan penyokong UMNO dalam hal ini janganlah terlalu jumud, tertutup dan eksyen sangat dengan awal-awal lagi telah menunjukkan sikap keras dan menolak tidak mahu langsung menyokong dan memberi undi kepada calon DAP.


Tunjukkan sikap baik hati dan mahu berkawan dengan DAP sebagaimana UMNO berkawan dengan MCA dan Gerakan sebelum ini.


Sedarlah hakikat bahawa UMNO, BN sudah kalah dua kali PRU iaitu PRU14 serta PRU15 dan dapat jadi kerajaan pun, pertama selepas PRU14 lalu seperti kata Hadi Awang ialah melalui tebuk atap, manakala selepas PRU15 baru-baru ini, ikut tafsiran Mohamad Hasan, Timbalan Presiden UMNO pula, hanya sekadar menumpang kasih saja.


Maka itu, berubahlah sebagaimana banyak perkara sudah berubah di dunia ini atau UMNO memang nak kalah lagi buat kali ketiga pada PRU16 nanti? – ShahbudinHusin 23/05/2023.



No comments: