RUMAH TERBUKA HARI RAYA ATAU RUMAH TERBUKA PILIHAN RAYA?


Sementara Perdana Menteri memutuskan tiada sambutan Rumah Terbuka Aidil Fitri di Seri Perdana pada tahun ini, sebaliknya ditetapkan Rumah Terbuka Malaysia Madani yang akan dihadiri oleh Anwar Ibrahim bakal diadakan di tiga negeri yang kini ditadbir Pas.


Menurut kenyataan media Jabatan Perdana Menteri atau JPM, majlis di Kedah yang akan menjadi program nasional, dijadual diadakan pada 29 April di Hotel Raia, Alor Setar.


Ia disusuli dengan majlis di Kelantan yang akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu pada 12 Mei.


Seterusnya, bagi sambutan di Terengganu, ia akan diadakan di Universiti Sultan Zainal Abidin di Kuala Terengganu pada 13 Mei, sehari selepas program di Kelantan.


Menurut kenyataan media JPM itu lagi, acara serupa akan turut diadakan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan namun tarikhnya belum ditetapkan lagi.


Ia juga akan dihadiri oleh Anwar selaku Perdana Menteri.


“Kesemua acara ini akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi di bawah JPM dengan kerjasama kerajaan negeri selaku tuan rumah selain kementerian peneraju yang dilantik bagi membantu pelaksanaan program,” menurut JPM.


Untuk makluman, tiga negeri yang telah ditetapkan tarikh sambutan Rumah Terbuka Malaysia Madani iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu adalah negeri-negeri yang bakal mengadakan PRN pada Julai nanti.


Begitu juga dengan tiga negeri yang belum ditetapkan tarikh sambutannya iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, ia turut akan berdepan PRN secara serentak dengan tiga negeri di atas.


Cuma, tiga negeri yang telah ditetapkan tarikhnya itu adalah negeri-negeri yang sedang ditadbir Pas, manakala yang belum ditetapkan tarikhnya adalah negeri yang ditadbir PH.


Dalam erti kata lain, selain negeri yang bakal berdepan PRN lebih beruntung kerana mendapat lebih perhatian daripada Perdana Menteri untuk dijamu sempena Hari Raya ini, lebih beruntung lagi ialah negeri yang sedang ditadbir oleh Pas.


Tiada disebutkan sambutan yang sama akan diadakan di negeri-negeri lain yang sudah selesai PRN masing-masingnya.


Penyokong PH dan BN di negeri yang tiada PRN nampaknya tidak diberi keutamaan dan tiada peluang untuk mereka bersalaman serta berselfie dengan Perdana Menteri pada Hari Raya tahun ini.


Mungkin giliran mereka akan tiba bila dekat-dekat nak PRU16 tahun 2027 akan datang pula.


Harap-harap dengan sambutan Hari Raya yang berbeza sambutannya berbanding kelazimannya oleh Perdana Menteri kali ini, salah satu negeri itu, sama ada Kedah, Kelantan atau Terenggganu, dapatlah ditawan melalui kerjasama PH dan juga BN dalam PRN nanti.


Juga diharapkan, negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan tetap kekal lagi dalam cengkaman PH dan tidak terlepas ke tangan pihak PN.


Jika tidak, Rumah Terbuka Hari Raya yang seolah-olah bertukar menjadi Rumah Terbuka Pilihan Raya ini hanya akan jadi sia-sia belaka. – ShahbudinHusin 20/04/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: