Mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau
Pinang yang pertama bagi tahun 2023.
Mesyuarat telah memutuskan beberapa keputusan melibatkan
tindakan memperkasa sosioekonomi dan modal insan Bumiputera MADANI di Pulau
Pinang.
Bagi memastikan hasrat meningkatkan pemilikan hartanah
Bumiputera di Pulau Pinang dapat dicapai serta memacu pembangunan tanah wakaf,
Kerajaan telah bersetuju untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta secara
dana pinjaman mudah. Sebagai permulaan, dana ini akan digunakan untuk
membangunkan projek perumahan di atas tanah wakaf di Permatang Pauh, Pulau
Pinang.
Selain itu, Kerajaan juga telah meluluskan peruntukan tambahan
RM10 juta untuk membolehkan 1,000 pelajar Tahfiz mendapat latihan kemahiran dan
pensijilan Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET). Besar harapan agar program
ini berupaya melahirkan anak muda yang holistik serta lengkap dengan ilmu
pengetahuan agama dan kemahiran teknikal.
Saya turut bersetuju melantik YBhg. Tan Sri Khalid bin Ramli
sebagai Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang yang baharu.
Pelantikan ini dibuat selaras dengan kepakaran dan pengalaman beliau yang telah
berkhidmat selama lebih 35 tahun dalam perkhidmatan awam.
Semoga dengan peruntukan tambahan yang disediakan, Kerajaan
Perpaduan dapat meningkatkan sosioekonomi serta taraf hidup Bumiputera di
seluruh Negeri Pulau Pinang. Insya Allah.