Di sebalik lawatan ke Arab Saudi yang bermasalah di saat-saat akhir baru-baru ini, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dipesankan agar tidak terganggu dengan perkara itu.
Seorang ahli UMNO yang juga bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Tengku Azlan Sultan Abu Bakar berkata, Anwar sebaliknya mesti fokus menjalankan tugas bagi menyelamatkan negara ini.
Katanya, Anwar tidak perlu menghiraukan pelbagai persepsi yang cuba dimainkan oleh pihak berkepentingan dalam hal berkenaan.
“Saya dapati beliau diterima baik di kalangan rakyat, malah begitu popular di kalangan anak-anak muda.
“Apa yang berlaku di Arab Saudi baru-baru ini tidak harus mengganggu dan menghilangkan fokusnya,” kata beliau.
Bercakap dalam satu pertemuan di pejabatnya, Tengku Azlan yang juga bekas Ahli Parlimen Jerantut itu menambah, Anwar adalah pilihan terbaik untuk mengemudi negara pada ketika ini.
Pengerusi PH itu katanya, bukan saja diterima baik oleh masyarakat majmuk di negara ini, bahkan penerimaan di peringkat antarabangsa juga amat membanggakan.
Dengan yang demikian, tegasnya lagi, apa yang harus Anwar lakukan ialah “move on” demi kepentingan rakyat dan juga negara.
Tengku Azlan menambah, apa yang berlaku dalam isu lawatan ke Arab Saudi baru-baru bukanlah kesalahan atau kesilapan di pihak Anwar sehinggga beliau perlu dicemuh dan diperlekehkan.
“Penjelasan Wisma Putra dengan jelas menunjukkan lawatan itu dilakukan dengan cukup teratur dan memenuhi semua protokol diplomatik yang sewajarnya.
“Untuk itu, kita sebagai rakyat seharusnya berdiri teguh di belakang Perdana Menteri dan kerajaan tanpa berbelah bagi,” tegasnya lagi.
Malah, Tengku Azlan yakin, usaha bersungguh-sungguh Anwar memerangi rasuah dan membersihkan negara dengan tata kelola yang bersih adalah agenda yang disukai rakyat. – ShahbudinHusin 31/03/2023