‘Sudah bagi nasihat, kini terpulang pada pimpinan Sabah’, kata Anwar

 

‘Sudah bagi nasihat, kini terpulang pada pimpinan Sabah’, kata Anwar

Anwar Ibrahim bersama Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Hajiji Noor (kanan) dalam pertemuan dengan pemimpin GRS, PH dan ADUN Umno yang menyokong kepimpinan ketua menteri Sabah malam ini. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Anwar Ibrahim berkata, terpulang kepada pimpinan Sabah untuk membuat keputusan selepas nasihat diberikan kepada mereka susulan kemelut politik yang tercetus.

Perdana menteri berkata, keadaan kini bertambah baik selepas beliau dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menemui pemimpin Sabah malam ini.

“Keadaan bertambah baik, saya dan Zahid cari formula baik untuk Sabah dan keputusannya diputuskan oleh pimpinan Sabah sendiri…sebenarnya kita cuma datang memberi nasihat,” katanya.

Anwar tiba di sebuah hotel di sini pada 10.10 malam tadi, sejurus mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dari Jakarta selepas lawatan rasmi dua hari ke Indonesia.

Beliau mengadakan rundingan dengan pemimpin Barisan Nasional dan Warisan, susulan cubaan gagal menggulingkan Hajiji Noor minggu lalu.

Rundingan itu menyusul ADUN Umno Sabah menarik balik sokongan terhadap Hajiji.

Tetapi, Hajiji semalam mengumumkan beliau memiliki 44 daripada 79 ADUN untuk terus menerajui Sabah, menerusi akuan bersumpah yang diserahkan kepada Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin kelmarin.

Hajiji antara mereka yang menyambut ketibaan Anwar di lapangan terbang tadi. Tetapi, beliau tidak kelihatan bersama Anwar ketika pengerusi Pakatan Harapan itu tiba di hotel.

Difahamkan, Anwar ke sana untuk menghadiri pertemuan dengan Zahid, yang mengadakan rundingan dengan pemimpin BN-Umno Sabah terlebih dahulu.

Pertemuan dengan pemimpin politik tertinggi itu menyusul beberapa hari selepas khabar angin Umno Sabah dan Warisan berusaha membentuk kerajaan negeri baharu selepas menggulingkan Hajiji.