Anwar cadang kerajaan perpaduan di Sabah, dakwa Bung

 

Bung Moktar Radin, berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim ada
 mencadangkan pembentukan kerajaan perpaduan melibatkan semua
 parti di negeri itu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim ada mencadangkan pembentukan kerajaan perpaduan di Sabah, kata ketua Umno negeri, Bung Moktar Radin.

Katanya, beliau menyokong penuh cadangan dikemukakan perdana menteri untuk melibatkan seluruh parti politik di negeri itu demi meredakan suhu politik.

“Saya yakin dan percaya melalui kerajaan perpaduan ini ianya mampu meredakan suhu politik dan seterusnya menstabilkan politik Negeri Sabah ketika ini.

“Saya juga berharap agar Ketua Menteri Hajiji Noor dapat menerima dengan hati yang terbuka saranan daripada YAB perdana menteri ini demi menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, selepas pertemuan dengan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kediaman rasmi Hajiji, Anwar berkata, beliau “merestui” Hajiji terus memimpin Sabah.

“Saya memberi restu kepada Hajiji sebagai ketua menteri,” katanya.

Kemelut politik di Sabah bermula selepas Bung menarik balik sokongan Barisan Nasional (BN) kepada Hajiji.

Bagaimanapun, lima ADUN BN dari Umno tidak menuruti kehendak parti, sebaliknya menyokong Hajiji sebagai ketua menteri.

Hajiji kemudian mengumumkan memiliki sokongan 44 daripada 79 ADUN untuk terus menerajui Sabah, menerusi akuan bersumpah yang diserahkan kepada Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin.

Dalam pada itu, Bung berkata, sebahagian besar ADUN Umno tidak dapat menghadiri sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kerana perlu berlepas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU).

“Walaubagaimanapun, saya bersama ADUN Umno Sabah turut menyokong penuh Rang Undang-undang Bekalan Gas 2023 yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Penggal Ketiga DUN Sabah yang ke-16, pada 10 Jan 2023,” katanya.

Pada 21 Dis, Anwar mengumumkan kerajaan persekutuan bersetuju menyerahkan kuasa kawal selia gas kepada Sabah kepada kerajaan negeri sebagai usaha mengembalikan hak Sabah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


No comments: